Berita Hari Ini

LHDN Kutip RM137 Bilion Cukai Langsung Tahun Lalu

PUTRAJAYA: Prestasi kutipan kasar cukai langsung negara yang dikutip Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi 2018 berjumlah RM137.03 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kutipan itu meningkat sebanyak 11.13 peratus atau RM13.72 bilion berbanding 2017.

Prestasi itu, katanya, adalah sejarah baharu kutipan hasil cukai langsung negara dan turut mengatasi pencapaian terbaik kutipan cukai langsung yang direkodkan pada 2014 iaitu RM133.7 bilion.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan kutipan daripada komponen pembayar cukai seperti syarikat, individu, petroleum, koperasi, duti setem dan lain-lain.

“Selain daripada mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), peningkatan hasil ini juga menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi masih menggalakkan dalam 2018,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini lapor Berita Harian.

Guan Eng berkata, kutipan hasil daripada cukai pendapatan (selain petroleum) menyumbang kira-kira RM116.953 bilion atau 85.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan pada 2018.

Katanya, komponen syarikat adalah penyumbang terbesar iaitu RM70.036 bilion atau 51.11 peratus diikuti komponen individu berjumlah RM36.065 bilion atau 26.32 peratus.

“Diikuti kutipan hasil cukai petroleum berjumlah RM20.08 bilion atau 14.66 peratus, kutipan duti setem berjumlah RM5.93 bilion atau 4.33 peratus, cukai pegangan (RM3.11 bilion atau 2.27 peratus), kutipan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) (RM1.46 bilion atau 1.07 peratus), cukai koperasi ( RM0.171 bilion atau 0.12 peratus) dan Labuan International Offshore Centre (IOFC) serta lain-lain cukai berjumlah RM0.163 bilion atau 0.12 peratus),” katanya.

Tambah beliau, prestasi kutipan yang sangat memberangsangkan adalah kesan daripada strategi efektif dan berkesan berkaitan percukaian yang ditetapkan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang mentadbir negara selepas kejayaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei tahun lalu.

“Penjajaran semula strategi kutipan cukai yang ditetapkan oleh kerajaan kepada LHDN terbukti membuahkan hasil. Antara strategi itu adalah aktiviti penguatkuasaan cukai, khususnya membabitkan tindakan audit dan siasatan yang dibuat dengan lebih profesional.

“Program pendidikan cukai yang berfokus; penambahbaikan tatacara dalam pengenaan tindakan sekatan perjalanan kepada pembayar cukai yang mempunyai tunggakan cukai dan tatacara yang lebih ketat berhubung penggunaan peruntukan kuasa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil dari Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) di dalam aktiviti penguatkuasaan,” katanya.

Guan Eng berkata, ketelusan dan tahap integriti yang tinggi oleh kerajaan dalam membelanjakan setiap sen cukai yang dikutip daripada rakyat turut memainkan peranan yang amat penting dalam meningkatkan tahap pematuhan yang lebih baik dalam kalangan pembayar cukai dan menyumbang kepada peningkatan ini.

“Faktor ini secara langsung meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan mendorong mereka mengisytihar serta membayar cukai yang sepatutnya secara sukarela.

“Kerajaan juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang menjalankan tanggungjawab mereka membayar cukai dan berharap agar terus melaksanakan tanggungjawab ini untuk memajukan negara,” katanya.

Beliau berkata, seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan komited untuk mengurangkan ketirisan hasil dan meningkatkan kadar pematuhan cukai di Malaysia.

“Bagi tujuan itu, Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) dilancarkan bermula 3 November tahun lalu dan akan tamat pada 30 Jun ini dengan menawarkan pengenaan kadar penalti yang sangat rendah iaitu 10 peratus dan 15 peratus.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");