Perak Hari Ini

Mahfuz Cadang Wujud Kategori Khas Untuk OKU Dalam Anugerah Tangan Emas PM

BATU GAJAH: Bagi mengangkat nama Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berjaya dalam bidang kemahiran, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan agar suatu kategori khas dapat diberikan kepada golongan tersebut dalam Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri, untuk tahun ini.

Beliau yang juga pengerusi majlis anugerah tersebut berkata, sama ada anugerah tersebut dibuat dalam bentuk pertandingan atau menerusi pemberian anugerah khas, ianya akan diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian yang lain.

“Cadangan untuk mewujudkan anugerah khas dalam majlis anugerah tahunan ini merupakan langkah kita untuk memberi rangsangan kepada golongan OKU dan sekali gus kepada masyarakat lain untuk berjaya dalam bidang kemahiran.

“Begitu juga sebagai langkah untuk menjadikan golongan tersebut sebagai ikon dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Selain itu, Mahfuz turut mencadangkan agar golongan OKU yang terlibat dan berjaya dalam bidang kemahiran turut diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), walaupun tidak mengikuti mana-mana kelas kemahiran.

Ujarnya ia sebagai langkah kementerian untuk memberi penghargaan terhadap usaha golongan tersebut dalam meningkatkan kemahiran diri.

“Saya ada mencadangkan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk mencari jalan bagaimana kita dapat menganugerahkan SKM kepada mereka. Paling kurang pun SKM Peringkat 1.

“Walaupun tidak memasuki mana-mana institusi kemahiran namun, sijil yang mereka terima itu adalah berdasarkan kepada pengalaman dan kemahiran yang dipelajari mereka sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program lawatan kerja ke sebuah bengkel motosikal yang diusahakan oleh OKU cacat penglihatan, Azhar Ibrahim, 36, di Kampung Batu Enam, Jalan Tanjung Tualang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A.Sivanesan.

Mengulas lanjut tentang lawatan ke bengkel tersebut, Mahfuz berkata, kejayaan Azhar dalam menguruskan bengkel motornya itu harus menjadi contoh kepada semua pihak.

Tambahnya, bagi tempoh 2016-2020, sehingga kini, Azhar merupakan salah seorang daripada 171 penerima Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kelainan Upaya di seluruh negara yang diperuntukkan sebanyak RM2 juta oleh kerajaan persekutuan.

Katanya, Azhar telah menerima bantuan hampir RM11,000 sejak dari tahun 2013 daripada Kementerian Sumber Manusia.

Dalam lawatan tersebut, A.Sivanesan turut mengumumkan bantuan sebanyak RM5,000 kepada Azhar, oleh kerajaan negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");