Berita Hari Ini

Mahkamah Benar Permohonan 7 Individu Cabar Larangan Merokok

KUALA LUMPUR: Tujuh individu yang mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang mewartakan semua tempat makan sebagai tempat larangan merokok bermula 1 Januari lalu, dibenarkan untuk memulakan semakan kehakiman.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi, membenarkan permohonan semakan kehakiman itu pada prosiding dalam kamar yang dihadiri peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Datuk M Reza Hassan bagi pihak tujuh individu itu (pemohon) dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili Kementerian Kesihatan sebagai responden tunggal.

Mohamed Haniff ketika ditemui media, berkata mahkamah bagaimanapun menolak permohonan pihaknya untuk menggantung penguatkuasaan larangan itu dengan alasan mahkamah tidak berhak menggantung mana-mana keputusan membabitkan operasi perundangan.

“Namun, permohonan penggantungan itu tidak relevan buat masa ini kerana Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan arahan bahawa pelaksanaan hanya akan dilaksanakan selepas tempoh enam bulan.

“Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 12 Februari ini untuk pengurusan kes,” katanya.

Pada 2 Januari lalu, Kementerian Kesihatan membuat kenyataan tidak akan mengeluarkan sebarang kompaun dalam tempoh enam bulan pertama penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan, sebaliknya hanya notis amaran akan dikeluarkan kepada pesalah.

Pada 31 Disember tahun lalu, Mohd Hanizam Yunus, 52; Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46; Mohd Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52; Mohd Yazid Mohd Yunus, 48 dan Yuri Azhar Abdollah, 39, memfailkan permohonan itu atas kapasiti individu dan bagi pihak semua perokok yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok.

Berdasarkan permohonan itu, mereka mendakwa larangan merokok adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan aktiviti jenayah atau diharamkan di negara ini dan sehubungan itu, aktiviti itu adalah suatu yang sah daripada segi undang-undang yang dijamin perlembagaan.

Mereka juga mendakwa, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan yang tidak merokok untuk mengunjungi dan menghabiskan masa di premis makanan seberapa lama yang mereka inginkan.

Rakyat Malaysia yang merokok akan secara konstruktifnya diketepikan dan atau didiskriminasikan daripada berkunjung dan atau menikmati kemudahan premis makanan dan menghabiskan masa mereka di sana kerana adanya larangan merokok berkenaan.

Semua pemohon juga mendakwa larangan merokok itu adalah bertentangan dengan peruntukan dan prinsip undang-undang atau salah prosedur kerana responden tidak pernah dilaporkan berjumpa dengan perokok atau pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan larangan itu, selain bersifat tidak munasabah dan tidak adil.

Mereka turut mendakwa kerajaan juga tidak memperuntukkan kemudahan seperti kawasan merokok yang terasing atau memberi peruntukan dalam larangan merokok untuk pengusaha premis makan melaksanakan budi bicara masing-masing untuk mengadakan kawasan merokok asing.

Sehubungan itu, pemohon memohon perintah untuk membatalkan keputusan pihak responden menguatkuasakan larangan itu bermula esok, selain deklarasi bahawa keputusan penguatkuasaan itu adalah suatu tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon suatu perintah larangan bagi menghalang responden sama ada melalui dirinya sendiri atau ejen atau wakil daripada menguatkuasakan larangan itu, selain perintah penggantungan oleh mahkamah terhadap responden daripada meneruskan penguatkuasaan perintah berkenaan sehingga meritnya didengar dan diputuskan.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");