Berita Hari Ini

Malaysia Akan Terima Bayaran Pertama Wang Dicuri Dari 1MDB, Tahun Ini

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menerima bayaran pertama daripada wang yang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata beliau enggan menyatakan jumlah wang berkenaan dan daripada mana sumber itu diterima, namun menyifatkannya satu permulaan yang baik kepada kerajaan.

“Nilainya bukan berbilion, namun ia adalah permulaan dan berita yang baik, diharapkan permulaan ini akan diikuti dengan bayaran berikutnya.

“Seterusnya kerajaan akan mendapatkan kembali wang lain yang dicuri daripada 1MDB,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan cek sebanyak RM20 juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menggerakkan kempen ‘Beli Barangan Malaysia’, di sini, hari ini, lapor BH Online.

Kata Guan Eng, beliau akan mengumumkan butiran mengenai perkara itu selepas ia dimuktamadkan.

Berhubung kajian dikeluarkan Global Financial Integrity (GFI) yang meletakkan Malaysia di kedudukan ketiga dalam aliran keluar wang haram pada 2015 selepas China dan Mexico, beliau berkata biarpun ia berita buruk, kerajaan akan menerima sejumlah wang daripada dana 1MDB.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata beliau turut menggesa parti politik pembangkang yang menyuarakan sokongan kepada Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, supaya memulangkan wang diterima daripada 1MDB.

“Saya berharap mereka boleh kembalikan wang ini kepada kerajaan .. parti politik yang mana? Saya fikir semua orang tahu.

“Satu parti politik menerima ratusan juta manakala yang lain menerima RM16.5 juta,” katanya.

Tambah beliau, jika parti-parti politik itu masih tidak memulangkan wang berkenaan, langkah-langkah perlu diambil untuk mendapatkan wang itu, termasuk menerusi tindakan undang-undang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");