Perak Hari Ini

Masalah Banjir Kilat Selesai

IPOH:Lebih 40 orang penduduk Taman Bahagia di Pasir Pinji di sini akhirnya boleh menarik nafas lega ekoran masalah kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan mereka sejak 20 tahun lalu beransur pulih dan selesai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How ketika ditemui di lokasi tersebut berkata Taman Bahagia merupakan taman perumahan terawal wujud di bandaraya Ipoh dan berhadapan dengan masalah tahap tekanan air yang terlalu rendah setelah sekian lama.

“Jadi projek tebatan banjir ini melibatkan dua fasa yang telah diselesaikan untuk menguruskan masalah aliran air hujan di kawasan perumahan ini kerana sebelum ini sekiranya hujan lebat pastinya akan berlaku banjir,” katanya kepada media hari ini.

Katanya lagi, projek yang melibatkan kos sekitar RM420,000 ini telah membantu menyelesaikan masalah tersebut walaupun masih terdapat aliran air ketika waktu hujan namun tidak lagi memasuki dan menjejaskan rumah penduduk.

“Perkara ini telah terjadi disebabkan oleh pembangunan yang tidak terancang hingga mengakibatkan kawasan ini menjadi kawasan tadahan air terutama di kawasan Pasir Pinji dan Tebing Tinggi. Semakin lama dan semakin banyak pembangunan di kawasan sekitar perumah masalah banjir kilat di sini menjadi semakin kronik,” katanya.

Katanya pentadbiran kini akan berusaha untuk memastikan setiap perancangan melibatkan kemudahan rakyat diuruskan oleh pihak yang profesional serta pemaju yang sesuai dan tidak melibatkan keuntungan mana-mana pihak.

“Kita sering dengar kos yang tinggi dan tiada peruntukan tetapi kita perlu berusaha menyelesaikan masalah ini secara berperingkat,” katanya.

Turut hadir sama Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh yang turut menyifatkan usaha tersebut adalah satu tanggungjawab kerajaan dalam membantu menguruskan keperluan rakyat.

Sementara itu menurut penduduk Nitya Ganthi mengakui sejak tahun lalu situasi banjir kilat itu berlaku sebanyak lima kali terutama ketika waktu hujan.

“Kami telah tinggal di sini sejak tahun 1992 lagi banjir kilat selalu berlaku malah sejak 3 tahun lalu masalah ini terlalu kerap hingga menyukarkan kami semua terutama ketika hujan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");