Perak Hari Ini

Masjid Wajib Terus Diimarahkan Supaya Tak Kaku,Terpinggir-Sultan Nazrin

IPOH:Masjid wajib terus diimarahkan dengan pelbagai aktiviti, demi mengelakkan ia menjadi bangunan kaku dan terpinggir.

Timbalan Yang Dipertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah mengimarahkan masjid ialah tanggungjawab yang wajib dipenuhi oleh mereka yang telah bersedia menerima amanah, sebagai ahli jawatankuasa masjid serta pegawai masjid.

Baginda bertitah demikian pada Sambutan Jubli Emas Masjid Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain Idris Shah.

Turut mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan barisan exco kerajaan negeri.

Titah baginda lagi orang-orang yang telah diberikan amanah mengurus dan mengimarahkan masjid, sekiranya tidak memenuhi tanggungjawab itu secara ikhlas, bersungguh dan komited telah tidak berlaku adil kepada qariah, dan bersifat, tidak memenuhi janji kepada ummah.

“Membina masjid merupakan aspek fizikal malah masjid yang sudah dibina secara fizikal, wajib dibangunkan dengan perisian kandungan yang bermakna, dihidupkan oleh orang-orang yang ikhlas, bersungguh dan komited, mahu mengembangkan syiar Islam, selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 18, Surah at-Taubah:

“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid ALLAH hanyalah orang yang beriman kepada ALLAH dan hari kemudian, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) kecuali kepada ALLAH; (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka termasuk golongan orang yang mendapat petunjuk,” titah baginda.

Baginda bertitah lagi, peredaran waktu dan perkembangan tamadun, telah mengubah cara hidup insan, yang terus menghadapi suasana hidup yang berubah dan bertambah kompleks, di samping perlu pula menangani bilangan ummah yang semakin bertambah.

Berikutan itu peranan dan kegiatan yang dahulunya berlaku di dalam bangunan masjid, kini perlu dipindahkan urusannya di pelbagai premis baharu di luar masjid.

Sementara itu baginda bertitah Masjid Sultan Idris Shah II, diiktiraf sebagai Masjid Negeri Perak Darul Ridzuan yang telah dirasmikan pembukaannya pada 15 November 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak ke-33, Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakil-Allallahi Shah II, (Marhum Affifullah).

“Masjid ini telah pun mencapai usia 50 tahun malah dalam tempoh masa tersebut, masjid ini telah melalui pelbagai fasa penambahbaikan dan pembesaran secara fizikal, begitu juga telah dibangunkan dengan pelbagai kegiatan.

“Beta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memenuhi pelbagai peranan, dan memberikan pelbagai sumbangan, mengimarahkan masjid ini sejak lima puluh tahun yang lalu,” titah baginda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");