Berita Hari Ini

Momentum Hubungan Malaysia-Thailand Dipastikan Kekal Tinggi – Dr Wan Azizah

BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata Malaysia akan memastikan momentum semasa hubungan dua hala dengan Thailand kekal pada tahap yang tinggi.

Beliau yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Thailand berkata Malaysia menyatakan komitmen kepada negara jiran untuk meneruskan proses perbincangan dalam pelbagai isu berkepentingan bersama, demi manfaat dan kesejahteraan kedua-dua negara.

Jelasnya, lawatan julung kali yang dibuat beliau sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, mencapai objektif dalam mengukuhkan kerjasama erat yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan Thailand.

“Sebagai kerajaan baharu, kita berjaya menonjolkan dasar baharu khususnya dalam menggiatkan lagi kerjasama dua hala kita dengan negara jiran di Asia Tenggara, terutama Thailand, ” katanya kepada media Malaysia, sebelum berlepas pulang ke Malaysia petang ini bagi mengakhiri lawatannya ke Thailand.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pada pagi tadi menyempurnakan majlis pelancaran maya pembukaan loji rawatan air hasil usaha sama antara Ranhill Holdings Berhad (Malaysia) dan Amata Water Company Limited (Thailand).

Projek dinamakan ‘7 MLD (juta liter sehari) Loji Rawatan Pemulihgunaan Air’ yang bertempat di Amata City Industrial Estate, Wilayah Rayong, Thailand.

Menurut beliau, projek usaha sama sektor swasta dari Malaysia dan Thailand itu membuktikan negara berupaya dan miliki kepakaran tinggi dalam pelbagai bidang seperti proses rawatan air yang boleh ditawarkan kepada negara-negara lain di rantau ini.

Beliau kemudiannya mengadakan perbincangan dengan Pengerusi dan juga ahli-ahli Jawatankuasa Tetap Bersama mengenai Perdagangan, Industri dan Perbankan (JSCCIB).

Mereka mewakili tiga organisasi swasta bertumpu kepada sektor perdagangan, industri dan perbankan di Thailand, iaitu Thai Chamber of Commerce (TCC), Federation of Thai Industries dan Thai Bankers’ Association.

Pada pertemuan terbabit, Dr Wan Azizah berkata beliau menyatakan hasrat kerajaan untuk menggalakkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, khususnya perdagangan dan pelaburan di persempadanan Malaysia.

“Jumlah perdagangan kita dengan Thailand di sempadan saja melebihi 60 peratus daripada jumlah dagangan dua hala Malaysia-Thailand. Kita juga berbincang dengan mereka mengenai peluang pelaburan yang ada di Malaysia dan menjemput mereka untuk meningkatkan pelaburan di negara kita.

“Saya turut menyatakan sokongan terhadap usaha kedua-dua buah negara untuk memudahcara urusan perdagangan melalui usaha untuk mengadakan ‘seamless connectivity’ di kawasan sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

Dr Wan Azizah turut melawat Organisasi Pemasaran Petani-Petani Thailand atau dikenali sebagai Or Tor Kor yang diiktiraf oleh CNN Travel sebagai Pasar Segar Keempat Terbaik Dunia pada 2017 selepas pasar La Boqueria, Barcelona; Tsukiji Fresh Market, Jepun; dan Union Square Farmer’s Market, New York.

Menyertai beliau ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.

Di pusat terbabit, Timbalan Perdana Menteri dan delegasi diberi taklimat berhubung pengurusan Or Tor Kor serta mengadakan lawatan tapak untuk melihat kegiatan pengedaran, perniagaan dan sebagainya bagi produk pertanian di Thailand.

Katanya, menerusi lawatan itu, Malaysia melihat banyak yang boleh dipelajari dan dikongsikan bersama dengan Thailand mengenai usaha meningkatkan lagi industri pertanian negara.

Beliau turut mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia yang berada di Bangkok.

Pada sesi ramah mesra itu, Dr Wan Azizah turut menyampaikan penghargaan kerajaan terhadap sokongan yang diberikan kepada dasar yang diperkenalkan di bawah kerajaan baharu serta memaklumkan aspirasi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");