Panasnya Hari Ini
Like

Mukhriz Sokong Syed Saddiq Isu Pemberian Kontrak

January 2, 2019
66 Views
0 Comments
2 minutes read
Mukhriz Sokong Syed Saddiq Isu Pemberian Kontrak

ALOR SETAR: Tindakan membincangkan isu pemberian kontrak secara umum adalah tidak bersesuaian berikutan ia melanggar aspirasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sehubungan itu, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata beliau menyokong 100 peratus kritikan dibuat Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berani bersuara mengenai perkara itu.

“Saya menyokong kenyataan Armada mengenai pentingnya integriti dalam pentadbiran parti jadi saya rasa memang tidak tepat dan sesuai bagi mana-mana kepemimpinan parti yang cadang menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk tujuan beri kontrak.

“Ia melanggar harapan dan aspirasi kita sebagai sebuah parti selepas membentuk kerajaan (isu tender), maka atas dasar itu saya menyokong 100 peratus kenyataan Syed Saddiq, ” katanya pada sidang media selepas menyerahkan Watikah Pelantikan Program Pemimpin Masa Depan, di sini.

Sebelum ini, Syed Saddiq menegur perwakilan supaya tidak membincangkan isu pemberian kontrak secara umum yang dilihat boleh menggugat parti, selain melahirkan rasa kecewa berikutan soal integriti terpaksa menjadi topik ucapan penangguhannya sempena Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU Kali kedua, Ahad lalu.

Berhubung gesaan supaya Naib Presiden BERSATU, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman supaya melepaskan jawatan rentetan kenyataan berhubung pemberian kontrak secara kronisme dan rundingan terus, ia tidak diperlu dipolemikkan berikutan ia bukanlah pendirian rasmi parti.

Beliau berkata, pihaknya akan sedaya upaya mengelakkan budaya ‘UMNO’ dalam parti dan atas dasar itu Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan mana-mana pemimpin UMNO yang ingin menyertai parti itu untuk tidak diberikan jawatan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sebelum ini, pengerusi kata bekas pemimpin UMNO yang ingin menyertai BERSATU tidak akan diberikan sebarang jawatan hingga PRU-15.

“Ia berikutan kita tidak mahu adanya budaya lama dan mahu mengelakkan perkara itu berlaku… ahli kita mesti menolak sebarang amalan tidak baik yang melemahkan parti dan jejaskan parti, ” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.