Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Najib akan membantu kempen BN setelah mendapat permintaan daripada penduduk di sini.

“Saya sendiri turun ke beberapa kawasan di sini dan ada permintaan untuk Najib datang dan saya percaya Najib sedia menerima pelawaan pengundi di sini.

“Banyak sekali pengundi di sini yang hati mereka dekat dengan Najib jadi saya percaya Najib akan memenuhi hasrat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program makan malam santai dengan belia bersama calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor di sini hari ini.

Mengenai isu jentera kempen Pakatan Harapan (PH) memberi duit muinyak kepada pengundi, Annuar berkata, adalah jelas politik wang menular di pihak kerajaan kerana apabila ada wang, mereka akan berbelanja.

“BN sebagai pembangkang tiada wang jadi kami tidak berbelanja, orang yang mempunyai wang sahaja yang main politik wang. DAP mungkin sangat mahukan kemenangan di sini sehingga gagal mengawal jentera parti mereka sehingga melakukannya (rasuah) secara nyata,” katanya.

Mengenai kenyataan Lim Kit Siang bahawa tidak salah memberikan duit minyak kepada pengundi, Annuar secara menyindir berkata, Penasihat DAP itu nampaknya sudah pandai menjadi kerajaan.

“Saya bersyukur kerana Lim Kit Siang dah mula pandai jadi kerajaan, alasan yang dia berikan serupa macam BN bagi dulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE