Berita Hari Ini

Netanyahu Enggan Letak Jawatan

RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam menegaskan tidak akan melepaskan jawatannya jika Peguam Negara menerima cadangan polis untuk mendakwa beliau sebelum kes bagi pihaknya didengari.

Minggu lalu, Netanyahu mengumumkan pilihan raya awal akan diadakan April ini, mahu mendapatkan mandat politik baru yang dapat membantu beliau berhadapan kemungkinan didakwa dalam siasatan rasuah.

Menurut BH Online yang memetik laporan Reuters, pemimpin Israel itu didapati terbabit dalam tiga kes rasuah dan menafikan sebarang salah laku.

Jika Peguam Negara Israel memutuskan untuk meneruskan dakwaan terhadap Netanyahu, beliau akan mengumumkan pendakwaan itu sementara menantikan sesi pendengaran, dan kemudian akan memfailkan dakwaan di mahkamah.

Ditanya pada sidang akhbar di Rio de Janeiro sama ada beliau akan menarik diri daripada persaingan pilihan raya jika pendakwaan dilakukan, Netanyahu berkata: “Saya tidak berhasrat meletak jawatan.

“Menurut undang-undang, Perdana Menteri (PM) tidak perlu meletak jawatan ketika proses pendengaran. Ia tidak berakhir sehingga hujah pihak saya didengari.

“Bayangkan apa akan berlaku jika PM disingkirkan sebelum sesi pendengaran berakhir dan selepas itu mereka memutuskan untuk menutup kes. Ia mengarut dan menjadi tamparan hebat kepada demokrasi.”

Keputusan pendakwaan dijangka dalam masa beberapa minggu lalu, tetapi sebahagian penganalisis berkata Peguam Negara boleh memilih untuk menangguhkan kerana bimbang ia mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");