Perak Hari Ini

Pejabat Menteri Besar Tampil Beri Bantuan Kepada Kanak-Kanak Miskin Tak Bersekolah

BAGAN SERAI:Pejabat Menteri Besar Perak hari ini tampil menghulurkan bantuan kepada tiga kanak-kanak dari keluarga miskin di Bukit Merah yang tidak dapat meneruskan persekolahan akibat kesempitan hidup.

Bantuan itu telah disampaikan oleh Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh yang hadir menziarahi keluarga Aspalela Zan, 42, di Kampung Wawasan Indah, Penempatan Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) Bukit Merah di sini, hari ini.

Turut hadir dalam lawatan itu adalah pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah Kerian.

Hafez Mubin terdahulu telah menyampaikan sumbangan kewangan dan beg sekolah kepada tiga anak saudara yang tinggal dengan Aspalela.

“Pihak JPN dan PPD telah mengambil maklumat tiga kanak-kanak bagi tujuan dokumentasi untuk membolehkan mereka meneruskan persekolahan di sekolah rendah berdekatan.

“Kita akan melihat bantuan susulan yang bersesuaian kepada tiga kanak-kanak ini dan keluarga Aspalela,” katanya.

Hafez Mubin berkata tiada seorang daripada anak-anak Aspalela yang keciciran dari sesi persekolahan tahun ini, manakala anaknya yang berusia 17 tahun, sudah lama tidak bersekolah malah sudah bekerja di ladang kelapa sawit.

Terdahulu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan dua anak dan tiga anak saudara yang dipeliharanya sejak kecil berhenti sekolah sejak beberapa tahun lalu akibat kesempitan hidup.

Ibu kepada 13 cahaya mata itu berkata dia dan suami tidak mampu menampung perbelanjaan sekolah anak-anak dan saudara mereka akibat tanggungan yang ramai dan pendapatan yang tidak menentu.

Suaminya hanya bekerja mengait buah kelapa sawit dan kerja-kerja kampung dengan anggaran gaji RM500 sebulan manakala Aspalela pula membantu dengan mencari barang lusuh untuk dijual.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");