Jenayah

Pejabat Peguam Negara Bantah Permohonan Gugurkan Sri Ram Daripada Kes Najib

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara hari ini mengemukakan bantahan terhadap permohonan Datuk Seri Najib Razak dan peguamnya untuk mencabar pelantikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes jenayah dihadapi mereka.

Memetik laporan BH Online, Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita, Pejabat Peguam Negara mengemukakan bantahan itu dengan alasan, permohonan dikemukakan beliau dan Najib di Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas (RKK), mempunyai persamaan dengan satu lagi permohonan difailkan mereka menerusi notis usul di Mahkamah Tinggi Jenayah.

“Mereka dengan itu membantah permohonan kami untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman ini dengan alasan terdapat permohonan yang bertindih,” katanya.

Muhammad Shafee berkata, beliau dan Najib memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman secara berasingan, bagaimanapun sebahagian alasan dikemukakan mereka adalah sama.

Peguam itu berkata, antara alasan dikemukakan ialah, Sri Ram yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan tidak boleh dilantik mengetuai pasukan pendakwaan ketika beliau masih bertindak sebagai peguam biasa.

“Ia berbeza dengan pelantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah (yang dilantik bagi kes jenayah terhadap Najib) dan pelantikan saya sebagai timbalan pendakwa raya ketika mengendalikan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee berkata, pihaknya memberikan alasan, jika Sri Ram terus mengetuai pendakwaan, anak guamnya dinafikan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili Pejabat Peguam Negara sementara itu memberitahu pemberita, pihaknya mengemukakan bantahan terhadap permohonan Najib dan Muhammad Shafee kerana permohonan sama sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Prosiding hari ini didengar di kamar Hakim Datuk Azizah Nawawi.

Muhammad Shafee berkata, Azizah kemudian menetapkan 29 Januari ini untuk mendengar permohonan kebenaran itu.

Dalam permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu, Najib dan Muhammad Shafee memohon perisytiharan untuk membatalkan keputusan Peguam Negara/Pendakwa Raya yang tidak mengemukakan surat pelantikan Sri Ram mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah.

Mereka turut memohon untuk membatalkan atau menolak pelantikan Sri Ram berikutan surat pelantikan tidak sah dan memohon perisytiharan bahawa terdapat konflik kepentingan berhubung pelantikan itu.

Turut dipohon, perintah untuk melarang Sri Ram daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes jenayah dihadapi Najib membabitkan 1Malaysia Development Berhad dan kes mengemukakan pernyataan tidak benar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri serta pengubahan wang haram dihadapi Muhammad Shafee.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");