Sukan Hari Ini

Pemain Import Lebih Waspada Sebelum Ikat Kontrak

KUALA LUMPUR: Pemain import yang mahu beraksi di Malaysia dilihat mengambil pendekatan berhati-hati apabila merisik latar belakang pasukan terlebih dahulu sebelum bersetuju menandatangani kontrak bersama pasukan terbabit.

Itu kesan yang timbul susulan masalah tunggakan gaji yang sentiasa membelenggu pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) dan situasi itu diakui sendiri oleh Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah.

Beliau yang berpengalaman dalam mengendalikan kemasukan ramai pemain import ke negara ini menjelaskan masalah terbabit mendatangkan kerisauan kepada pemain import yang mahu mencuba nasib di sini.

“Kebanyakan maklumat tersebar daripada pemain yang berdepan tunggakan gaji dan mereka memberitahu kepada pemain lain supaya tidak menandatangani kontrak dengan sesuatu pasukan susulan masalah dialami.

“Sukar untuk menafikan perkara ini tetapi inilah realiti yang berlaku. Ada juga pemain yang turut mendapatkan pandangan saya mengenai sesuatu pasukan sama ada stabil ataupun tidak jika mereka mahu beraksi bersama pasukan terbabit.

“Memang perkara ini menjadi kegusaran apatah lagi selepas ramai pemain import yang pernah terkena sehingga kes dibawa ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa FIFA,” katanya, lapor Harian Metro hari ini.

Terdahulu, Sukan NSTP melaporkan pemain import khususnya dalam kalangan yang berkualiti dijangka menjauhkan diri pada masa depan sekiranya isu gaji tertunggak masih membelenggu pasukan atau kelab yang bertanding dalam Liga M.

Malah ia juga boleh mengakibatkan pemain import sedia ada akan berasa tidak selesa sekiranya tiada tindakan susulan diambil bagi menyelesaikannya oleh semua pihak terbabit termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya berkata perkembangan negatif itu jelas sedikit sebanyak berisiko mengundang rasa takut kepada pemain terbaik dari luar negara untuk datang pada masa depan.

Ia selepas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mendedahkan sebanyak 262 aduan diterima pihaknya berhubung kes gaji tertunggak sekali gus meletakkan Liga M berada pada kedudukan tertinggi di Asia berkaitan kes seperti itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");