Berita Hari Ini

Pembayaran BSH 2019 Fasa Pertama Isnin Ini

PUTRAJAYA – Pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa pertama akan dilaksanakan Isnin ini mengikut pangkalan data lama dan kaedah lama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak bagi membolehkan bayaran dibuat sebelum bulan depan.

“Proses pemutihan yang akan mengeluarkan nama penerima tidak layak kerana mereka bukannya daripada golongan B40 memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan.

“Setelah pangkalan data dikemaskini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam Bajet 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, lapor Utusan Online.

Sementara itu, Guan Eng berkata, pembayaran BSH 2019 dijangka akan memanfaatkan sehingga 4.1 juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah.

Jelasnya, pembayaran itu akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion dan bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima.

Tambahnya, proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah.

“Kriteria pembayaran dan kaedah baharu akan diumumkan dalam jangka masa yang terdekat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");