Berita Hari Ini
Like

Pembekal Punca Harga Barang Kekal Tinggi – Mydin

January 8, 2019
575 Views
0 Comments
2 minutes read
Pembekal Punca Harga Barang Kekal Tinggi – Mydin

KUALA LUMPUR: Isu harga barang kembali mendapat perhatian baru-baru ini susulan penurunan harga runcit bahan api petroleum pada 5 Januari lalu.

Ini kerana harga petrol dan diesel sering disebut sebagai antara faktor penentu kenaikan harga barang sebelum ini.

Bagaimanapun selepas tiga hari penurunan harga runcit bahan api tersebut, kesannya kepada harga barang masih sukar dilihat.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin berkata ini kerana naik turunnya harga barang tidak boleh dipersalahkan kepada peniaga.

Sebaliknya, kata beliau, sebarang perubahan harga sebenarnya bergantung kepada pembekal dan jaringan pengangkutan.

“Peniaga tak bergantung kepada harga minyak, kami bergantung kepada pembekal kami – susu kita beli daripada mana, ayam kita beli daripada siapa, dan sebagainya.

“Penyedia pengangkutan sepatutnya menurunkan caj pengangkutan secara automatik selepas harga minyak turun, tetapi sehingga kini tiada satu pun penyedia pengangkutan kami yang memberikan harga lebih murah untuk hantar barangan ke cawangan kami di Kota Bharu, di Ipoh, di Johor, atau di mana-mana lagi,” katanya, sebagaimana dilaporkan Astro Awani.

Ameer dalam pada itu menafikan dakwaan beliau bersikap berat sebelah apabila menyalahkan pembekal sebagai punca harga barang kekal tinggi.

Katanya, peniaga terbukti bukan punca utama kerana ada undang-undang yang mewajibkan mereka menurunkan harga jualan barang jika pembekal menurunkan harga.

“Di Malaysia kita ada Akta Anti Pencatutan. Mengikut akta tersebut, kalau pembekal turunkan harga, kita peniaga hanya boleh kekalkan margin keuntungan yang sama.

“Kalau kos barang (dijual oleh pembekal) kepada kita turun, kita terpaksa turun harga kita jual.

“Kalau kos kita turun 5 peratus, barang kita akan turun 5 peratus. Kalau kos turun 2 peratus, barang kita akan turun 2 peratus,” katanya.

Beliau seterusnya menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpukan pemantauan dan penguatkuasaan mereka kepada pihak yang betul.

“KPDNHEP kena buat operasi bukan pada peniaga, tetapi terhadap para pembekal yang menghantar barang ke pasar raya atau para peruncit.

“Satu-satunya cara untuk kerajaan memastikan harga barang turun adalah dengan terus cekal menguat kuasa pembekal.

“Mereka adalah punca kos barang kekal tinggi,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.