Jenayah

Penagih Dakwa Hisap Dadah Kurangkan Sakit Kanser Perut

TAMPIN 23 Jan. – Seorang lelaki yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi di Gemas dekat sini, hari ini mengaku mengambil dadah jenis syabu bagi menahan sakit akibat kanser perut yang dialaminya.

Pengarah AADK negeri, Nazira Sadiron berkata, lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai menghidap kanser tahap dua sejak tahun lalu itu ditahan di rumah keluarganya kira-kira pukul 1 pagi.

“Dia yang tidak bekerja tinggal bersama ibunya dan dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak setahun lalu. Ujian saringan air kencing ke atasnya positif dadah jenis syabu.

“Lelaki itu mendakwa mengambil dadah disebabkan kanser perut dan memberitahu syabu dapat menghilangkan penderitaannya,” katanya di sini hari ini.

Nazira memberitahu, perbuatan lelaki itu menghisap syabu untuk menahan kesakitan adalah salah kerana ia cuma melarikan dirinya daripada realiti dia sedang menanggung sakit akibat kanser.

Kata beliau, syabu yang boleh didapati secara haram pada harga RM50 hingga RM60 sepaket merupakan dadah sintetik yang meningkatkan keseronokan kerana peningkatan dopamin dalam otak.

“Keseronokan itu hanya dirasai pada peringkat awal sebelum tingkah laku penghisap syabu berubah menjadi agresif apabila ketagihan mula berlaku. Penagih syabu juga akan berubah menjadi kurus dalam tempoh singkat,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 6(2)(c) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 lapor Utusan Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");