Perak Hari Ini

Perak Akan Perhalusi Cadangan Warta Sawah

IPOH:Kerajaan Negeri Perak bersedia memberikan kerjasama kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung cadangan penguatkuasaan pewartaan kawasan tanaman padi yang dikatakan kini berhadapan dengan masalah keluasan sawah semakin mengecil melibatkan beberapa negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun berkata, bagi negeri Perak kawasan pertanian sawah padi sebahagiannya diurus oleh pihak korporat dan setakat ini masih tiada keperluan untuk tindakan sedemikian diambil.

“Kerajaan Negeri masih belum memperolehi maklumat terperinci daripada pihak kementerian namun kita memahami cadangan Menteri mengenai perkara itu.

“Malah di Perak sendiri kita mempunyai pertanian sawah yang sebahagiannya diuruskan oleh pihak korporat yang besar jadi keperluan untuk mewartakan di kawasan luas ini saya tak berapa nampak cuba kita akan dapatkan lebih banyak maklumat daripada pihak kementerian.

“Sudah tentunya kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam hal keselamatan makanan ini kerana langkah membangunkan kawasan sawah turut melibatkan kebergantungan terhadap import negara,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis penutup kejohanan Piala Taming Sari Open Triples 2019 di Arena Lawn Bowls Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh hari ini.

Katanya lagi, pihak kementeri juga perlu turut sama mempertimbangkan situasi dihadapi kerajaan negeri dengan membantu menyalurkan bantuan bersesuaian untuk penjanaan ekonomi negeri.

“Perak antara negeri yang tertinggi pengeluaran pada bagi seluruh negara dan dijalankan melalui syarikat korporat yang mempunyai pajakan dalam tempoh masa panjang jadi saya tidak nampak syarikat ini akan membangunkan tanah sawah untuk tujuan dan perkara lain,” katanya.

Katanya setakat ini usaha tersebut tidak mengancam sistem dan proses pengeluaran padi di negeri ini.

Terdahulu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata kementeriannya sudah mencadangkan kepada kerajaan Kedah dan Perlis untuk mewartakan semua kawasan tanaman padi di negeri masing-masing.

Katanya cadangan itu juga sudah dikemukakan di dalam Mesyuarat Tanah Negara, baru-baru ini dalam usaha kementerian menangani masalah itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");