Perak Hari Ini

Perak Perkenal Barisan The Bos Gaurus, Jersi Baharu Pada 26 Januari

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bakal memperkenalkan barisan pemain skuad The Bos Gaurus yang bakal beraksi pada musim ini pada 26 Januari ini, di perkarangan Stadium Indera Mulia, dekat sini.

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, majlis tersebut juga bakal menyaksikan pelancaran jersi pasukan bola sepak Perak bagi musim yang sama.

Ujarnya lagi, majlis yang akan bermula seawal jam 8 malam itu akan dimuatkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti senaman zumba, ‘Street soccer’, perlumbaan drone, jualan makanan menerusi trak saji serta jualan istimewa oleh pihak al-Ikhsan.

“Saya ingin mengajak semua penyokong memenuhi perkarangan stadium sebagai tanda sokongan kepada pasukan kesayangan rakyat Perak untuk menghadapi saingan yang lebih mencabar musim depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Dalam sidang media yang sama, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak mengumumkan pelantikan Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian, Tajul Hasnan Omar sebagai Setiausaha Kehormat PAFA yang baharu.

Jelas beliau, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif PAFA yang berlangsung malam tadi.

“PAFA yakin dengan pelantikan tersebut, beliau mampu membantu melancarkan lagi pengurusan persatuan.

“Pelantikan Tajul Hasnan juga bertujuan membolehkan Setiausaha Kehormat sebelum ini, Abd Aziz Yeop Jamaluddin dapat memberi tumpuan penuh kepada tugas beliau sebagai Naib Presiden II,” katanya.

Tajul merupakan Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian sejak 1980 sehingga kini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Melayu Perak juga pernah mengetuai beberapa biro dalam PAFA, antaranya biro pertandingan, pengadilan, latihan dan tatatertib semenjak menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis PAFA hampir 10 tahun lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");