Jenayah

Permohonan Tengku Adnan Ketepi Syarat Serah Pasport Kepada Mahkamah Ditolak

KUALA LUMPUR— Permohonan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mengetepikan syarat penyerahan pasport antarabangsa kepada mahkamah dengan menaikkan jumlah jaminannya, ditolak Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini yang mengarahkan Tengku Adnan, 69, diikat jamin RM500,000 berserta syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kesnya selesai.

Mohd Nazlan dalam keputusannya berkata Anggota Parlimen Putrajaya itu yang hadir ke mahkamah ditemani empat anaknya, boleh membuat permohonan pelepasan sementara pasportnya sekiranya mempunyai urusan di luar negara.

“Jaminan RM500,000 dan syarat tambahan, pasport diserah kepada mahkamah dikekalkan,” kata Mohd Nazlan semasa sebutan kali pertama di mahkamah itu selepas kes tersebut dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, lapor Bernama

Terdahulu peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan mengemukakan permohonan untuk mengetepikan syarat penyerahan pasport atas alasan anak guamnya perlu berulang-alik ke Australia kerana melawat dua anak perempuannya masing-masing berusia 13 dan 18 tahun yang belajar di negara itu selain Tengku Adnan mempunyai banyak urusan perniagaan di Indonesia.

Tan berkata Tengku Adnan juga mencadangkan jumlah jaminannya dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta serta bersedia dengan syarat tambahan melapor diri kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan, sekiranya perlu.

“Anak guam saya dan isteri kerap melawat kedua-dua anak mereka di Australia, anak guam saya juga tidak lagi berkhidmat dalam kerajaan dan beliau perlu menguruskan perniagaan beliau di luar negara. Beliau juga bukan seorang yang mempunyai risiko melarikan diri dan memberi kerjasama baik kepada SPRM,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim bagaimanapun membantah permohonan peguam itu dan berhujah Tengku Adnan sepatutnya lebih arif dengan jadual cuti dan peperiksaan anak-anaknya di Australia dan boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pelepasan sementara pasportnya bagi menziarahi anaknya di negara itu.

“Kami tiada masalah dengan jaminan RM500,000 tetapi dengan syarat pasport tertuduh diserah pada mahkamah dan tertuduh pada bila-bila masa boleh membuat permohonan mendapatkan pasport atas urusan perniagaan atau keluarga.

Urusan tertuduh boleh diatur dengan baik walaupun pasportnya dipegang mahkamah,” kata Julia. Mahkamah menetapkan 28 Feb untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Tengku Adnan mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas satu pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini, pada 2013, dibacakan semula ke atasnya.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.

Perbuatan itu sebagai upah bagi dirinya meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak.

Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013 mengikut perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tengku Adnan juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan iaitu di tempat dan tarikh sama, sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank? miliknya, yang diketahui Tan sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties yang ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");