Perak Hari Ini

PH Perak Seru Pengundi Cameron Highlands Buat Pilihan Bijak

IPOH: Pakatan Harapan (PH) Perak berharap agar pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dapat membuat pilihan yang bijak.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyeru supaya calon PH dapat dipilih bagi mewakili suara rakyat kawasan tersebut di dalam Dewan Rakyat kelak.

“Walau apa juga keputusan PRK tersebut, ia memang tidak dapat mengubah kerajaan di persekutuan mahupun di negeri Pahang.

“Namun, bagi mendapatkan kestabilan politik di kawasan tersebut, amat perlu mereka memilih calon yang mewakili parti yang kini menjadi kerajaan.

“Saya berharap mereka dapat membuat keputusan yang bijak dengan memilih calon PH,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Mampu Milik Apartmen Casa Kayangan @ Meru, di sini, hari ini.

Hari pengundian PRK Cameron Highlands pada esok bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, M Manogaran; Ramli Mohd Nor dari Barisan Nasional (BN) serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib serta petani tempatan, Wong Seng Yee.

Pada PRK kali ini, seramai 32,009 orang layak mengundi termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir serta 385 pengundi kurang upaya.

Pilihan raya itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan tersebut.

PRK ini adalah yang kelima selepas PRU14, dengan tiga pilihan raya sebelum ini adalah melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");