Berita Hari Ini

PLUS Cadang Pasang Kamera Had Laju Di Jambatan Pulau Pinang

SEREMBAN: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk memasang kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang selain menambah kamera itu di beberapa lokasi lain di enam lebuh raya kendalian syarikat itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail, berkata buat masa ini Jambatan Pulau Pinang tidak mempunyai kamera had laju dan cadangan pemasangan itu bertujuan mengelak kemalangan berlaku.

“Setakat ini, hanya kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di jambatan berkenaan bagi memantau aliran trafik, namun kita mencadangkan untuk menambah kamera had laju.

“Cadangan terbabit akan diserahkan kepada kerajaan selepas laporan penuh siasatan kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) terhumban ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang diperoleh.

“PLUS hanya melaksanakan pemasangan kamera tetapi pemantauannya kelak akan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat Ke-14 Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2019 di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah utara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata pihaknya juga akan melihat semula keperluan untuk mengurangkan kadar had laju dan ketinggian tembok penghadang di Jambatan Pulau Pinang bergantung kepada laporan siasatan.

Katanya, had laju di jambatan itu sekarang ialah 80 kilometer sejam dan tembok berkenaan juga mengikut piawaian antarabangsa British Standard (BS 5400) yang ketinggiannya satu meter.

Dalam pada itu, Azman berkata kadar kemalangan maut di Jambatan Pulau Pinang merekodkan penurunan sebanyak 54 peratus iaitu enam kes pada tahun lalu berbanding 13 kes pada 2017.

Manakala bagi kes kemalangan biasa pula, sebanyak 332 kes direkodkan tahun lalu berbanding 345 kes pada tahun sebelumnya, iaitu pengurangan sebanyak empat peratus.

Pada Ahad lalu, media melaporkan, SUV Mazda CX-5 putih dipandu Moey Yun Peng, 20, terhumban ke dalam laut di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang ketika menghala ke Seberang Perai.

Dalam kejadian jam 2.50 pagi itu, kenderaan terbabit terlebih dulu terbabit kemalangan dengan sebuah Toyota Vios.

Berikutan itu, satu operasi mencari dan menyelamat dilakukan pihak berkuasa sebelum kenderaan terbabit ditemui 15 meter dari tiang 34 jambatan itu pada jam 4 petang lapor Berita Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");