Perak Hari Ini

Polis Digesa Ambil Perhatian Aduan Pelanggaran Akta Kerja Oleh Majikan

IPOH: Pihak polis digesa untuk mengambil perhatian terhadap sebarang aduan yang berkaitan pelanggaran Akta Kerja 1955 oleh majikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A. Sivanesan berkata, mana-mana majikan yang tidak membayar gaji pekerjanya melebihi daripada tujuh hari, ia telah melanggar peruntukan akta tersebut.

Jelasnya, pelanggaran akta tersebut juga boleh menyebabkan seseorang majikan itu didakwa mengikut Seksyen 405 Jenayah Pecah Amanah di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Para majikan adalah pemegang amanah. Sebelum 7 hari bulan, memang majikan berhak ‘memegang’ gaji pekerja. Namun, selepas 7 hari bulan, dan jika majikan masih tidak membayar gaji pekerja, maka dia telah pecah amanah.

“Pada pengalaman sebelum ini, saya pernah menghantar aduan seperti ini kepada polis namun polis mengatakan perkara ini tidak melibatkan polis kerana tiada jenayah yang berlaku.

“Sebaliknya, mungkin pihak polis tersalah dalam membuat tafsiran peruntukan undang-undang ini. Sepatutnya mereka merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya berharap ia tidak berlaku di Perak,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Beliau merujuk kepada kes mogok oleh 2,000 pekerja asing di sebuah kilang di Sepang, Selangor ekoran tindakan majikan mereka yang tidak melangsaikan bayaran gaji, baru-baru ini.

Selain itu, Sivanesan yang juga pengamal undang-undang berkata, terdapat juga aduan yang mana majikan membuat potongan gaji kepada pekerja namun tiada sebarang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di buat.

Jelasnya, perkara tersebut juga secara jelas boleh di dakwa di bawah peruntukan Seksyen 405, Kanun Keseksaan (Akta 574).

Dalam pada itu, kata Sivanesan, jika berlaku kesalahan yang dilakukan oleh majikan, para pekerja boleh membuat aduan kepada Kerja Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia di semua daerah.

Katanya lagi tindakan tersebut memang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 69, Akta Kerja 1955.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");