Berita Hari Ini

Rakyat Digesa Terus Gigih Berusaha Jadikan Malaysia Negara Maju Pada 2025

PUTRAJAYA: Rakyat digesa untuk berusaha dengan lebih gigih pada tahun ini dalam menggerakkan Malaysia ke arah negara maju menjelang 2025.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau yakin kedatangan tahun 2019 akan membawa lebih banyak nikmat kepada negara ini.

“Kita akan sambut tahun ini dengan hati yang senang dan gembira, malah saya yakin kita semua akan bekerjasama untuk membangunkan negara bertuah ini.

“Ini adalah negara kita bersama, terpulanglah kepada kita semua untuk mencorakkannya,” katanya berucap pada sambutan tahun baru 2019 serentak penutup Festival Light and Motion Putrajaya 2018 (LAMPU 2018) di Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini, pada Isnin lapor Berita Harian.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata rakyat negara ini bernasib baik kerana Malaysia adalah negara yang aman dan makmur.

“Inilah cita-cita kita dan untuk ini, kita akan cetuskan keadaan aman damai dalam negara dan kita akan bersama-sama berkongsi untuk bangunkan negara ini.

“Inilah harapan kita semua. Saya juga ingin mengucap selamat menyambut tahun baru dengan gembira kerana kita bertuah hidup di negara ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri turut bersama rakyat menyaksikan persembahan LAMPU serta kiraan detik 12 tengah malam.

Walaupun keadaan jalan basah akibat hujan, dianggarkan lebih 400,000 pengunjung tidak berganjak dan terus menunggu detik kiraan tahun 2019.

Turut dipersembahkan percikan bunga api secara langsung dan digital selama enam minit di bangunan Istana Kehakiman.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");