Berita Hari Ini

Soal Jawab Agama Mufti WP, Kini Ada Terjemahan Bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR: Bermula hari ini, semua soal jawab agama di lawan web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan menyediakan terjemahan dalam bahasa Inggeris.

Perkara itu dimaklumkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Twitter rasminya hari ini sekali gus bakal memudahkan lebih ramai pengguna Internet dalam kalangan pelbagai kaum untuk bertanya dan mendapat maklumat berkaitan kemusykilan agama.

“Insya-Allah mulai hari ini, web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan turut menyediakan terjemahan bahasa Inggeris bagi soal jawab agama.

“Kesemua lebih 2,000 soal jawab agama akan diterjemah dari semasa ke semasa,” katanya, lapor Harian Metro.

Inisiatif itu ternyata mendapat maklum balas positif netizen, malah ada yang mencadangkan supaya terjemahan dalam bahasa Mandarin.

Menurut Mrs Carroll, dengan adanya terjemahan dalam bahasa Inggeri bakal memudahkan suaminya untuk membaca artikel berkaitan soal jawab agama secara terus tanpa perlu menggunakan terjemahan Google.

“Alhamdulillah sekurang-kurangnya suami saya boleh terus baca dari web tanpa perlu menggunakan terjemahan Google,” katanya.

Razi Ariff pula berharap usaha dilakukan itu akan membolehkan mesej dakwa Islam tersebar luas kepada masyarakat.

“Alhamdulillah. Semoga tersebar mesej dakwah,” katanya.

Sementara itu, Najmi memuji usaha menyediakan terjemahan dalam bahasa Inggeris serta berharap ia diperluas dalam bahasa lain.

“Alhamdulillah. Usaha yang bagus. Luaskan penyampaian dengan pelbagai bahasa pada masa hadapan,” katanya sambil disokong oleh Gárruloüs yang berharap soal jawab itu diterjemah dalam bahasa Mandarin.

Pejabat Mufti Wilayah yang dihubungi memaklumkan pihaknya menerima banyak permohonan daripada kalangan bukan Islam supaya disediakan terjemahan dalam bahasa Inggeris untuk soal jawab agama.

“Disebabkan itu, kami mengambil inisiatif untuk menyediakan terjemahan dalam bahasa Inggeris bagi membolehkan lebih ramai netizen dapat memahami setiap artikel yang disediakan,” katanya.

Semakan mendapati laman web Pejabat Mufti Wilayah yang berbentuk interaktif sehingga kini dikunjungi lebih 10 juta pengguna maya.

Antara kandungan artikel yang disediakan termasuk Bayan Linnas, Irsyad Fatwa, Al Kafi li al-Fatawi, Irsyad al-Hadith, Irsyad Usul Fiqh, Tahqiq al-Masail, Al-Afkar, Bayan Li al-Haj dan Tashih al-Mafahim.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");