Berita Hari Ini

Sultan Johor Kongsi Pertemuan Dengan Dr Mahathir Di Laman Sosial

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berkongsi pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad petang semalam, dalam laman Facebook dan Instagram rasmi baginda.

Pada kedua-dua laman sosial tersebut, Sultan Ibrahim memuat naik beberapa keping gambar dan kenyataan berhubung majlis baginda menerima menghadap Dr Mahathir yang berlangsung di Istana Bukit Serene di sini.

Memetik laporan BH Online, dalam hantaran di laman sosial tersebut, Sultan Ibrahim memaklumkan baginda meluangkan masa lebih sejam bersama Dr Mahathir membincangkan pelbagai perkara, sebelum majlis santapan ringkas.

Ketibaan Dr Mahathir di perkarangan istana itu bagi menghadap baginda kira-kira 4 petang, disambut Sultan Ibrahim serta Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Pertemuan itu merupakan kunjungan rasmi pertama Dr Mahathir sejak beliau dilantik semula sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei tahun lepas.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

“Selesai pertemuan itu, Baginda turut berkenan menghantar Dr Mahathir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menaiki sebuah Proton Saga edisi pertama yang dihadiahkan kepada Almarhum Sultan Iskandar pada tahun 1985,” menurut hantaran dalam kedua-dua laman sosial tersebut.

Kereta berwarna biru dengan nombor pendaftaran Proton 1 itu dipandu sendiri Sultan Ibrahim.

Kereta itu dihadiahkan kepada ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");