Perak Hari Ini

Sumbangan RM50,000 Untuk Kuil Di Gunung Cheroh

IPOH: Kerajaan Perak mengumumkan sumbangan dana berjumlah RM50,000 kepada Kuil Kallumal Arulmigu Subramaniar di Gunung Cheroh, di sini, hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan melalui Unit Hal Ehwal Bukan Islam Negeri.

Jelasnya, ia merupakan sebahagian daripada dana yang telah diperuntukkan kepada unit tersebut seperti mana yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2019, tahun lalu.

“Saya merasa gembira kerana perayaan Thaipusam yang disambut di sini pada tahun ini sangat meriah.

“Saya juga gembira apabila melihat ramai pihak swasta yang membantu memberikan sumbangan makanan kepada pengunjung. Malah ada juga agensi kerajaan yang terlibat sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa membuat lawatan ke Kuil Kallumal Arulmigu Subramaniar, dekat sini, bersempena dengan sambutan Perayaan Hari Thaipusam.

Ia merupakan lawatan sulungnya sebagai Menteri Besar semenjak mengangkat sumpah jawatan pada Mei tahun lalu.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar; Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam perkembangan sama, semasa berucap di hadapan lebih sekitar 5,000 penganut Hindu yang berada di dalam kuil tersebut, Ahmad Faizal menyeru agar semua pihak dapat terus menjaga hubungan perpaduan antara kaum di negara dan negeri ini.

Ujarnya, sambutan perayaan Thaipusam yang turut diraikan oleh masyarakat selain daripada masyarakat India secara harmoni adalah sesuatu harus dihargai semua pihak.

“Kita sepatutnya berasa syukur kerana di Malaysia dan di Perak ini, kita dapat merayakan perayaan Thaipusam dengan keadaan harmoni dan aman.

“Ini adalah sesuatu perkara yang harus di jaga bersama-sama. Jika kita ada sebarang permasalahan, kita selesaikan ibarat dalam satu keluarga yang besar,” katanya.

Selain itu, Menteri Besar sekali lagi menyeru semua pihak agar dapat mengamalkan gaya hidup sihat dan seterusnya menghindari tabiat merokok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");