Perak Hari Ini

Syarikat Swasta Beri Tajaan RM30 Juta Buat The Bos Gaurus, PKNP FC

IPOH: Pasukan bola sepak Perak dan PKNP FC menerima peruntukan ataupun tajaan berjumlah sekitar RM30 juta untuk beraksi pada musim ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu walau bagaimanapun berkata, peruntukan tersebut adalah tajaan daripada pihak swasta dan bukannya daripada kerajaan negeri mahupun Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC) Negeri.

Jelasnya, jika amalan sebelum ini, kerajaan negeri dan GLC negeri terpaksa memberi penajaan dan peruntukan kepada kedua-dua pasukan bola sepak tersebut melebihi RM30 juta.

Namun, beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berkata pengurangan dana penajaan tersebut telah pun diambil kira peruntukan bagi skuad The Bos Gaurus untuk menempuh aksi musim ini termasuk, untuk Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Kita sudah buat perkiraan sehingga ke perlawanan antarabangsa tersebut.

“Alhamdulillah, ramai pihak swasta yang datang membantu, memberikan sumbangan dan penajaan. Dan ini membolehkan kerajaan negeri dan GLC negeri tidak perlu mengeluarkan sebarang peruntukkan yang banyak

“Peruntukkan ini tidak seperti tahun-tahun lalu namun saya yakin kita mampu membiayai pasukan bola sepak kita ini, hasil daripada sumbangan pihak swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri program temu bual di Perak FM, bersama-sama pemain e-sukan FIFA 18, Azroy Adyana Tajuddin atau lebih dikenali sebagai Nia Adyana.

Dalam pada itu, ujar Ahmad Faizal, PAFA juga bertanggungjawab terhadap karier pemain-pemainnya sama ada semasa berada di dalam pasukan mahupun selepas.

Katanya, badan induk tersebut sentiasa merangka strategi bagi membantu para pemainnya kekal menyinar walaupun tidak lagi beraksi bersama-sama pasukan bola sepak negeri.

“Tugas PAFA dan saya sebagai Presiden ialah supaya kita dapat mendekati pemain dan merencanakan perjalanan karier mereka sehingga selepas bermain.

“Jangan ingat saya berjumpa pemain-pemain itu untuk menguatkan pasukan semata-mata sebaliknya, namun kita juga bertanggungjawab terhadap pemain itu dan menguatkan PAFA. Bukan selepas dia habis kontrak, kita biarkan dia,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Faizal berkeyakinan bahawa barisan pemain Skuad The Bos Gaurus yang akan diumumkan kelak adalah yang terbaik bagi musim ini, selain katanya ia turut dipersetujui ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");