Sukan Hari Ini

‘Tak Faham Peraturan, Salahkan Orang Lain Untuk Kelemahan Sendiri’ – TMJ

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak gentar sekiranya Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bertegas mahu membawa kes perpindahan Akhyar Rashid ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Malah, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu menyifatkan KFA sepatutnya menyalahkan diri sendiri terhadap keputusan Akhyar untuk meninggalkan skuad Helang Merah.

Beliau menjelaskan mana-mana pemain berhak menentukan hala tuju mereka untuk berhijrah ke pasukan lain selagi mengikut segala peraturan termasuk menebus baki kontrak dengan majikan lama.

“Jika hari ini Safawi Rasid (pemain JDT) datang kepada saya dan mengatakan dia mahu menebus kontraknya dan meninggalkan kelab ini, saya akan terima dengan hati yang terbuka.

“Saya tidak boleh kecewa dengannya atau pasukan yang hendak mendapatkan pemain itu. Kenapa? Kerana ini bermakna kelab tidak menjaga pemain itu dengan baik sehingga mendorong pemain untuk berhijrah.

“Saya hanya boleh menyalahkan diri sendiri dan kelab ini kerana tidak dapat menjaga pemain dengan baik. Saya akan melihatnya sebagai satu kegagalan kami kerana mungkin kami ada melakukan kesilapan. Sekarang, Kedah menyalahkan orang lain.

“Pertama, anda tidak faham peraturan. Kedua, anda menyalahkan orang lain untuk kelemahan anda sendiri. Jika Kedah merasakan bahawa mereka mahu membawa Akhyar atau JDT ke CAS atau pun FIFA, teruskan,” kata TMJ dalam kenyataan di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, lapor Harian Metro.

Semalam media melaporkan peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid tidak menolak kemungkinan Akhyar dan JDT boleh berdepan hukuman penggantungan daripada FIFA sekiranya KFA berjaya membuktikan wujudnya unsur ‘tapping up’ atau ‘curi’ pemain kepada badan induk dunia itu.

Malah, KFA menerusi Setiausaha Kehormat, Mohd Asmirul Anuar Aris hari ini tetap berkeras mahu mengheret isu berkenaan ke FIFA dan CAS meskipun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar.

Selain itu, TMJ turut menegaskan JDT yang juga juara Liga Super lima kali berturut-turut mendapatkan Akhyar dengan cara yang betul selepas pemain itu berstatus ejen bebas.

“Terdapat klausa dalam peraturan bola sepak yang menyatakan bahawa seorang pemain boleh meninggalkan pasukan pada akhir musim sekiranya dia inginkan, dengan mengikut prosedur tertentu.

“Apabila terdapat laporan Akhyar sedang berusaha untuk menamatkan kontraknya dengan Kedah dan sedang menunggu keputusan FAM (tetapi) Kedah tidak mengendahkan permintaannya untuk membincangkan perkara itu, kami menyatakan bahawa kami hanya akan mendekati Akhyar apabila dia sudah meninggalkan kelab itu dan menjadi ejen bebas.

“Jadi, apakah kesilapan JDT untuk menandatangani Akhyar selepas ada pengumuman oleh FAM bahawa dia dibenarkan menjadi ejen bebas?,” soal TMJ.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");