Perak Hari Ini

The Bos Gaurus Lancar Jersi Baharu, Perkenal Pemain

IPOH: Penantian peminat sukan bola sepak Perak tiba di penghujung apabila Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) memperkenalkan jersi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2019, malam tadi.

Pengenalan jersi kepada umum buat julung kalinya dibuat dalam satu acara gilang-gemilang di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di sini.

Dua jersi baharu untuk bermain di gelanggang sendiri serta lawan yang berwarna hitam dan kuning yang disarung kesemua barisan Skuad The Bos Gaurus dan dipertontonkan di hadapan lebih 10,000 penyokong yang hadir.

Selain itu, perkataan ‘Quit Smoking’ dan ‘Save Water’ yang tertera pada jersi yang ditaja Umbro tersebut berjaya mencuri tumpuan umum.

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mesej bagi dua perkataan tersebut bukan sahaja untuk diuar-uarkan kepada rakyat Perak sahaja malah mesej tersebut bakal diangkat ke peringkat antarabangsa.

Beliau merujuk kepada kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada tahun ini.

“Ini adalah pesanan kita kepada semua di peringkat Asia dan begitu juga pesanan daripada Lembaga Air Perak iaitu jimatkan air.

“Hari ini kita akan lihat mesej ini tertera di jersi pasukan kita. Saya harap kesemua ibu dan ayah di sini membeli jersi ini, pastikan anak kita pakai dengan bangganya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran kit pasukan Liga Super Perak musim 2019/2020 serta barisan pemain di Dataran MBI, malam tadi.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut mengumumkan bahawa Skuad The Bos Gaurus bakal mempunyai satu lagi set jersi berwarna putih yang direka khas untuk beraksi di ACL 2019.

“Jersi itu akan lebih eksklusif daripada dua jersi yang dipamerkan ini dan itu yang kita hendak penyokong nanti-natikan.

“Kita hanya akan dedahkannya tidak lama sebelum perlawanan play off ACL itu berlangsung. Jersi ketiga ini melengkapkan warna negeri Perak iaitu putih, kuning dan hitam,” ujarnya.

Walau bagaimanapun katanya, mesej ‘Quit Smoking’ dan ‘Save Water’ tetap akan tertera pada jersi berkenaan.

Pada majlis sama, selain daripada pelancaran jersi baharu, majlis turut memperkenalkan barisan pemain untuk musim ini.

Selain jurulatih Mehmed Durakovic, Perak turut mengekalkan tiga pemain import musim lalu iaitu Leandro Dos Santos, Wander Luiz dan Gilmar Jose Da Silva selain mendapatkan khidmat bekas pemain pertahanan PKNS FC yang juga pemain kelahiran Australia, Zac Anderson.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");