Perak Hari Ini

Tiada Keperluan Wujudkan Mahkamah Perlembagaan – Liew Vui Keong

IPOH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkata tiada sebarang keperluan bagi mewujudkan Mahkamah Perlembagaan, setakat ini.

Beliau mengulas cadangan yang diutarakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengusulkan supaya kerajaan dapat mewujudkan institusi kehakiman tersebut bagi membicarakan pelbagai isu berkaitan hak dan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan yang mulai menjadi polemik ketika ini.

Kata Vui Keong mahkamah yang sedia di negara ini sudah mencukupi untuk mengendalikan sebarang isu berkaitan perkara tersebut.

“Jika ada mana-mana pihak yang mahu mencadangkan maka boleh utarakan kepada kami, namun bagi kita buat setakat ini, ia dilihat tiada keperluan untuk adakan Mahkamah Perlembagaan ini.

“Memandangkan mahkamah kita, mampu mengendalikan isu-isu perlembagaan yang boleh dikendalikan Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah yang tertinggi sekali,” katanya.

Tambahnya lagi, keberadaan hakim-hakim di Mahkamah Persekutuan juga sudah cukup dan mampu untuk mengendalikan sebarang kes dan isu, termasuk isu-isu penting yang melibatkan perlembagaan negara.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pejabat Jabatan Bantuan Guaman di Bangunan Persekutuan, di sini, hari ini.

Kehadiran beliau merupakan sebahagian daripada lawatan kerjanya ke semua bangunan mahkamah dan pejabat guaman di sekitar Bandaraya Ipoh.

Mengulas lanjut, Vui Keong berkata, tujuan utama lawatan kerjanya itu ialah bagi memastikan semua bangunan dan pejabat tersebut berada dalam keadaan yang kondusif.

“Kesemua hakim dan peguam perlu berada dalam keadaan persekitaran yang selesa supaya dapat memudahkan mereka melakukan kerja-kerja perundangan.

“Kita harus pastikan mereka dapat bekerja dalam keadaan yang kondusif dalam melaksanakan tanggungjawab dalam memberi keadilan kepada semua rakyat,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");