Sukan Hari Ini

Tiada Layanan Istimewa Buat Bekas Pemain BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kekal dengan polisi untuk tidak memberi layanan istimewa kepada beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan beregu lelaki, Goh V  Shem-Tan Wee Kiong yang kini bergerak secara profesional.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata kedua-dua pasangan utama negara itu sudah diberikan penerangan jelas mengenai kedudukan mereka selepas bergelar pemain profesional.

Dan, atas persetujuan bersama, mereka dilepaskan untuk membolehkan mengejar impian layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tanpa sebarang tekanan.

Katanya, biarpun mereka memberikan sumbangan besar kepada negara terutama ketika meraih pingat perak pada Olimpik Rio 2016, tetapi mereka perlu faham dengan polisi badan induk berkenaan.

“Mereka bersetuju untuk bergerak sebagai pemain bebas selepas lebih 15 dan 17 tahun bersama BAM dan kami memberi ‘restu’ kepada mereka untuk mengejar impian mereka.

“Apabila mereka keluar menjadi pemain bebas, mereka akan dilayan sebagai pemain bebas dan bukan kerana mereka adalah Peng Song-Liu Ying atau V Shem-Wee Kiong.

“Ini kerana polisi BAM jelas dan tiada perkara berbangkit dalam isu ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Sebelum ini, Peng Soon-Liu Ying dilaporkan berharap BAM akan memberikan peluang kepada mereka untuk menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selepas menjadi pemain profesional.

Bagaimanapun, Norza memaklumkan sekiranya kedua-dua pasangan berkenaan layak ke Olimpik, mereka akan diberi bantuan dan sokongan sepenuhnya bersama skuad kebangsaan.

“Jika mereka layak, mereka akan dapat bantuan sepenuhnya. Mereka juga bersetuju sekiranya dipanggil bagi mewakili negara dalam kejohanan utama seperti Piala Thomas, Piala Sudirman, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA, mereka akan bersama skuad kebangsaan,” katanya.

BAM turut mendedahkan, sepanjang dua tahun lalu, badan induk itu sudah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM2 juta buat kedua-dua pasangan itu merangkumi perbelanjaan menyertai kejohanan dan sebagainya.

“Selepas mereka bergerak secara bebas, dana sebanyak RM500,000 untuk setiap pemain bagi tempoh dua tahun itu boleh digunakan bagi pembangunan pemain muda dan meremajakan skuad kebangsaan,” kata Norza.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");