Jenayah

Tumbuk Isteri Kerana Pokok Rambutan

NILAI: BERANG kerana isterinya memajakkan pokok rambutan, seorang pesara polis bertindak menumbuk muka wanita itu hingga cedera di sebuah rumah di Kampung Bukit Kadir, di sini, kelmarin.

Menurut Harian Metro, sumber polis berkata, suspek berusia 63 tahun turut didakwa melepaskan satu das tembakan apabila berselisih faham dengan isterinya.

Katanya, pada kejadian 9.30 pagi suspek memarahi mangsa berusia 58 tahun, apabila wanita itu dikatakan menyewakan pokok rambutan dalam kawasan rumah kepada penduduk kampung.

“Akibat terlalu marah, lelaki itu bertindak menumbuk muka isterinya, menarik rambut dan menendangnya. Isteri mangsa yang juga seorang pengasuh mendakwa suaminya memegang sepucuk pistol lalu melepaskan tembakan ke udara,” katanya.

Kata sumber itu, suspek mengambil sebilah parang lalu memecahkan cermin tingkap di kediaman mereka.

“Sewaktu mahu membelasah isteri buat kali kedua, anak lelaki mereka menghalang tindakan itu sebelum membawa ibunya ke Balai Polis Nilai bagi membuat laporan jam 3.40 petang,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek adalah pesara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah dan kini berkhidmat sebagai imam di sebuah masjid berhampiran rumah.

“Siasatan awal mendapati mangsa dibelasah apabila pokok rambutan ditanam suspek dalam kawasan rumah dipajak kepada penduduk. Anak dan isteri suspek mendakwa pistol disimpan dalam kediaman namun tidak tahu mengenai lesen pemilikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan sama ada suspek melepaskan tembakan ke udara atau sekadar dakwaan semata-mata.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");