Berita Hari Ini

Tumpat, Yan Antara 28 Daerah Termiskin Negara – Menteri

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengenalpasti 28 daerah miskin di negara ini yang perlu diberi tumpuan bagi pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi.

Menterinya, Rina Harun berkata ia melibatkan program merangkumi pembangunan infrastruktur, peningkatan pendapatan, pendidikan dan sebagainya bagi membolehkan penduduk di kawasan tersebut keluar dari senarai daerah miskin.

Beliau berkata antara daerah dikenal pasti ialah Tumpat di Kelantan, Yan di Kedah selain beberapa daerah di Sabah dan Sarawak, justeru KPLB akan memberi perhatian untuk menyalur bantuan selain bekerjasama dengan agensi dan jabatan berkaitan dalam meningkatkan taraf sosial serta ekonomi penduduk.

“Kita kenal pasti kawasan-kawasan ini yang perlu diberi penekanan khusus antaranya pendidikan seperti sasaran yang ditetapkan kementerian ini iaitu 67 peratus anak-anak luar bandar daripada keluarga berpendapatan B40 ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) selain program keusahawanan dan pelbagai lagi untuk mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Usahawan Muslimah, di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang, di Tangkak, Johor hari ini.

Seminar anjuran Persatuan Muslimah Johor yang dihadiri kira-kira 200 peserta itu bagi memberi pendedahan kepada peniaga dan penjaja kecil mengenai modul dan strategi perniagaan.

Sementara itu, Rina berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk membela penduduk termasuk orang asli di Cameron Highlands walaupun calon PH tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen berkenaan semalam.

Beliau berkata, pihaknya berjanji untuk tidak ‘menganaktirikan’ penduduk di kawasan tersebut dengan menjadikan perbezaan politik sebagai jurang sempadan.

“Keperluan dalam meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat khususnya perlu diambil sebagai keutamaan. Kita telah merasainya sebelum menjadi kerajaan dan tidak akan lakukan kesilapan yang sama,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");