Berita Hari Ini

Umno Perlu Bertanggungjawab Pada Utusan – Kit Siang

Sebagai pemilik Utusan Malaysia, Umno perlu mengambil tanggungjawab terhadap kemelut kewangan yang melanda akhbar itu, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

“Majlis Tertinggi Umno mesti bertanggungjawab dan menyelesaikan kemelut kewangan Utusan Malaysia dan tidak menjadikan wartawan Utusan Malaysia sebagai kambing hitam terhadap ketidakupayaan dan kleptokrasi Umno,” katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, para pekerja Utusan menggesa bekas anggota parlimen Kulim Bandar Baru Abdul Aziz Sheikh Fadzir kembali menjadi pengerusi akhbar tersebut. Ini selepas Aziz meletak jawatan secara tiba-tiba, menyebut komitmen perniagaan peribadi sebagai alasannya.

Peletakan jawatannya sebagai pengerusi Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) diumumkan kepada Bursa Saham Malaysia pada 13 Disember 2018.

Minggu lalu, syarikat itu mungkir bayaran pertama kepada 700 orang pekerjanya yang bersetuju mengikuti skim pemberhentian kerja sukarela (VSS).

“Tiada siapa tahu jika Aziz kembali ke Utusan Malaysia akan dapat mengubah nasib akhbar itu, tetapi saya sangat bersetuju dengan Setiausaha Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Basir Abu Bakar, yang juga pemberita Utusan, bahawa sesiapa sahaja yang memimpin syarikat ini perlu komited untuk menyelamatkan Utusan.

“Saya akan menambah sedikit dan menyatakan Majlis Tertinggi Umno tidak boleh dibenarkan lari daripada tanggungjawabnya terhadap wartawan Utusan Malaysia,” katanya.

Beberapa tahun ini, Utusan mengalami kemerosotan edaran akhbarnya tetapi syarikat itu tetap mendapat hasil iklan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bagaimanapun, selepas BN tewas pada PRU14, Utusan tidak lagi menerima manfaat berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");