Perak Hari Ini

149 Papan Iklan Haram Dikesan Berada Sepanjang Jajaran Lebuh Raya Di Kerian

PARIT BUNTAR – Sebanyak 149 papan iklan haram yang dibina tanpa memperolehi kebenaran mahupun lesen iklan dikesan berada di sepanjang jajaran lebuh raya Utara Selatan dekat daerah Kerian.

Yang Di Pertua Majlis Daerah Kerian (MDK) Helmi Yusof@Jusoh, berkata berdasarkan pemantauan yang dibuat tahun lalu, daripada kesemua jumlah papan iklan tersebut, hanya 34 daripadanya didirikan secara sah.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan telah pun dibuat pada penghujung tahun lalu selain turut mengeluarkan 14 notis di bawah Seksyen 35, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Peruntukan tersebut bagi memberi arahan supaya menurunkan visual iklan dan meruntuhkan sebarang struktur binaan tanpa kebenaran kepada pemilik papan iklan.

“Susulan dari tindakan penguatkuasaan yang dibuat, pihak majlis bersama Ahli Majlis Daerah Kerian, telah melaksanakan tindakan meroboh satu papan iklan berhampiran susur keluar Bukit Merah, Bagan Serai, kerana kegagalan pemilik syarikat mematuhi arahan notis di bawah Seksyen 35, Akta Jalan,Parit dan Bangunan 1974.

“Manakala 13 lagi papan iklan yang turut gagal mematuhi arahan notis akan diambil tindakan secara berperingkat-peringkat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Turut serta dalam operasi tersebut ialah Ahli Majlis Daerah Kerian, Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.

Tambah Helmi lagi, operasi tersebut membuktikan MDK serius terhadap isu ini dan akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan pemilik papan iklan dapat mematuhi arahan mahupun undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");