Jenayah

‘Ada Kesan Lebam, Tapak Kasut Di Rusuk Adib’

SHAH ALAM: Kesan lebam, kemerah-merahan dan tapak kasut jelas kelihatan di rusuk kanan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang parah dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada pagi 27 November, tahun lalu,

Kru teknikal, R Narresh, 30, memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini, berlaku pendarahan di hidung, telinga dan tubuh serta kesan calar di muka selain mendapati keadaan anggota bomba itu semakin lemah.

Narresh melihat kesan itu ketika berada di belakang kenderaan jenis Mistubishi Storm milik orang awam, Mohd Hafizan Nordin, dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

“Saya periksa anggota bomba yang tidak berbaju itu dan nampak ada kesan line (garis) lurus seperti tapak kasut.

“Kesan itu berlaku akibat debu pasir. Turut kelihatan warna kemerah-merahan di rusuk kanan dan ada kesan lebam. Saya kemudian mengelap dengan tapak tangan hingga kesan debu pasir itu hilang.

“Apabila nampak ada kesan lebam dan merah di rusuk kanan, saya sediakan baju t-shirt milik anggota untuk standby (bersedia) sekiranya ada pendarahan saya boleh buat ikat.

“Saya terus bercakap dengan anggota bomba itu seperti tepuk bahunya berkali-kali dan cakap dengannya kuat-kuat tetapi tiada respon (tindak balas).

“Matanya tertutup, langsung tidak bercakap dan hanya ketip bibir dengan kuat,” katanya menjawab soalan Pegawai Pengendali Kes, Hamdan Hamzah, lapor BH Online.

Narresh yang juga sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, sepanjang bersama, beliau ada memeriksa nadi Muhammad Adib tetapi denyutannya semakin lemah dan tiada tindak balas diberi sehingga mereka tiba di SJMC.

Hamdan: Apa berlaku di atas bucket (belakang kenderaan)?

Narresh: Saya terus bercakap dengan dia ‘bangun-bangun, please say something (tolong cakap sesuatu). Be strong, we are reaching to hospital (kena kuat, kita hampir tiba di hospital). Sambil-sambil itu saya raba poket seluar dia dan jumpa telefon miliknya. Ada dua panggilan masuk tetapi saya tidak jawab sehingga panggilan ketiga, baru saya jawab.

Hamdan: Siapa yang menelefon?

Narresh: Saya nampak nama BB Azrul. Saya cakap dengan pemanggil ‘bang, kawan cedera. Sekarang on the way (dalam perjalanan) ke SJMC. Tolong datang sana.’ Saya kemudian matikan telefon milik anggota bomba.

Hamdan: Apa yang berlaku sebaik kamu tiba di SJMC?

Narresh: Saya turun terus ke bahagian kecemasan minta mereka bawa pengusung. Ketika di kecemasan seorang kakitangan hospital bertanya mengenai dokumen seperti insurans dan kad pengenalan. Saya cuma jawab tiada dan beritahu ‘please help him (tolong bantu dia), kalau tidak nyawa dia terancam. Dia (Muhammad Adib) orang kerajaan, anggota bomba. Kalau rumah terbakar kamu panggil bomba. Tolonglah selamatkan dia.’ Mereka kemudian menolong.

Narresh berkata, anggota bomba yang lain tiba di SJMC dalam 10 hingga 15 minit kemudian.

“Jam 4 pagi, abang anggota bomba (Muhammad Adib) tiba dan saya serahkan semua barang milik mangsa kepada abangnya termasuk telefon bimbit.

“Pada jam 4.30 pagi selepas menerima maklum balas daripada doktor merawat mangsa yang menyatakan keadaannya okay, barulah saya pulang ke rumah,” katanya.

Terdahulu, Narresh bersama rakannya, S Surresh, 33, dan lima yang lain ke sana untuk melihat apa yang berlaku.

Setibanya di sana, keadaan menjadi kecoh sebaik van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) selepas dilanggar jentera Fire Rescue Tender (FRT) berundur tiba-tiba selepas diserang perusuh.

“Saya nampak jentera itu berundur tetapi tidak ke sana kerana perusuh masih menyerang jentera. Saya berjalan menuju ke tempat letak motosikal.

“Kemudian saya nampak Suresh keluar dari kelompok orang ramai yang berkumpul dan tanya apa berlaku,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");