Jenayah

Akibat Curi Barang Makanan, Suami Isteri Dipenjara Tujuh bulan

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri yang juga masing-masing bekas banduan, dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri barangan makanan termasuk keju di sebuah pasar raya, minggu lalu.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Hafizullah Hamidi, 39, dan isterinya, Azrina Noorul Abidin, 29, selepas masing-masing membuat pengakuan bersalah sebaik tuduhan dibacakan ke atas mereka oleh jurubahasa mahkamah, lapor BH Online.

Mahkamah memerintahkan pasangan itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 1 Februari lalu.

Ketika disoal Mohamad Ikhwan mengapa mereka melakukan perbuatan mencuri, Hafizullah memberikan alasan dia tiada wang kerana tidak bekerja.

Terdahulu, Hafizullah dan Azrina yang masing-masing memakai baju berwarna putih itu dilihat tenang dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding mahkamah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mencuri sembilan paket Cheesedale, satu bungkusan Thai Longan, satu botol Marigold Fresh bernilai RM133 daripada pasar raya Aeon Sunway, Subang Jaya, di sini pada JAM 7.02 malam, 1 Februari lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta denda.

Terdahulu, kedua-duanya yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah meringankan hukuman atas alasan mempunyai tanggungan dua anak berusia lapan dan empat tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Soubian meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mahkamah turut dimaklumkan Hafizullah dan Azrina masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah menjalani hukuman di penjara sebelum ini membabitkan kes dadah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");