Sukan Hari Ini

Apa Itu ‘Sarriball?’, Kata Pengurus Chelsea

PENGURUS Chelsea, Maurizio Sarri, percaya label yang diberikan terhadap gaya permainannya tidak membawa apa-apa makna.

Gaya permainan ‘Sarriball’ yang diterapkannya mengundang kritikan hebat di sekitar London barat itu dengan beberapa laporan mendakwa jawatan bekas pengendali Napoli tersebut bagai telur di hujung tanduk menjelang perlawanan akhir Piala Liga Inggers (EFL) menentang Manchester City, tengah malam esok – Chelsea dimalukan 0-6 kepada lawan yang sama dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bulan ini.

Dengan terus meletakkan Jorginho di bahagian tengah manakala N’Golo Kante dikerah lebih ke hadapan, ia membuktikan bahawa Sarri enggan berganjak terhadap pemilihan pemainnya dan kaedah itu mengundang rasa tidak puas hati segelintir penyokong The Blues.

Taktik itu bagaimanapun terus tenggelam; penyokong mengherdik gaya ‘Sarriball’ dalam kekalahan 0-2 aksi Piala FA kepada Manchester United di Stamford Bridge Isnin lalu; dan pengurus berbangsa Itali berusia 60 tahun itu menegaskan keputusan perlawanan mungkin tidak menyebelahi pasukannya, namun mempertahankan taktiknya.

“Saya tidak tahu maksud sebenar Sarriball,” katanya sebagaimana dilaporkan Stadium Astro, “Seperti yang saya katakan sejak tiba di England pada hari pertama, saya tidak tahu apa itu Sarriball.

“Saya fikir ia berasal daripada jurnal. Di Itali, saya tidak pernah dengar mengenainya.

“Saya tidak pasti sama ada ia akan menjadi mudah seandainya taktikal saya tidak dilabel. Bagaimanapun, perkara yang paling penting adalah keputusannya. Dalam bidang saya ini, saya perlukan hasilnya. Itu sahaja.”

Terdesak untuk menghasilkan keputusan positif bagaimanapun bukan langkah bijak buat masa ini memandangkan City kini berada di puncak prestasi.

Pep Guardiola juga bergelut untuk menjelmakan sentuhan terbaiknya ketika tiba di Stadium Etihad pada 2017 tetapi kehadiran sekutu lama daripada Barcelona, Ferran Soriano dan Txiki Begiristain, menyaksikan jawatannya jarang dipertikaikan.

Ditanya mengapa mereka masing-masing mendapat layanan yang berbeza, Sarri menjawab: “Kerana dia bernasib baik, saya tidak tahu — anda perlu bertanya kepada Manchester City dan Chelsea.

“Saya tidak pasti sama ada saya berada di bawah tekanan oleh kelab atau daripada kamu (wartawan). Saya tidak tahu pada masa ini.

“Jika anda memilih Guardiola, maka anda perlu memberikan masa kerana kelab itu sedar bahawa Guardiola perlukannya. Bukan mudah untuk sebuah pasukan Inggeris mengamalkan corak permainan seperti itu, jadi ia adalah sesuatu yang biasa terjadi.”

Chelsea pincang menjelang aksi di Wembley biarpun Sarri sedar kepentingan tinggi pertembungan itu.

Sarri mengesahkan pemainnya kurang keyakinan ketika menang 3-0 ke atas Malmo dalam aksi Liga Europa semalam. Justeru, dia ingin memupuk mentaliti bebas dalam pendekatan mereka.

“Dalam tempoh 30 minit perlawanan tersebut, saya lihat barisan pemain saya begitu bimbang, tiada keyakinan,” katanya.

“Jadi, saya tidak mahu memberi tekanan kepada mereka. Saya mahu fikiran mereka dalam keadaan yang sangat bebas. Kami akan mula membuat persediaannya hari ini.

“Saya tidak senang dengan permainan kami pada awal 30 minit. Saya mahu melihat sesuatu yang lebih bebas.

“Sehubungan itu, kami akan membuat persediaan untuk mengharungi 60 minit permainan, tidak lebih daripada itu.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");