Berita Hari Ini

Azmin Elak Mengapa Bakal PM Tiada Dalam Majlis Tindakan Ekonomi

SUBANG JAYA: Datuk Seri Azmin Ali mengelak ketika ditanya pemberita mengapa bakal perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada dalam majlis tindakan ekonomi, badan yang ditubuhkan semalam untuk selaraskan tindakan kerajaan Pakatan Harapan.

“Ini keputusan perdana menteri tapi saya yakin dalam proses mendapatkan input kita akan hubungi pemegang taruh termasuk anak muda dan komuniti peniaga,” kata menteri hal ehwal ekonomi kepada pemberita di satu majlis sambutan Tahun Baru Cina hari ini.

“Ini cuma majlis kecil untuk mengumpulkan maklumat daripada pemegang taruh jadi kita patut biarkan mereka adakan mesyuarat pertama, tetapkan parameter, dan kemudian turun temui pemegang taruh dan membincangkan lebih lanjut.”

Anwar merupakan pilihan pertama Pakatan Harapan untuk jawatan perdana menteri pada pilihan raya umum ke-14, dan difahamkan akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Tun Dr Mahathir Mohamad selepas tempoh tertentu.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan 16 nama anggota Majlis Tindakan Ekonomi, yang bertujuan merancak dan merangsang pertumbuhan ekonomi, pengagihan kekayaan sama rata dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Antara anggota yang tiada jawatan politik dalam majlis itu ialah ahli ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram, Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek dan bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz.

Ditanya adakah keanggotaan majlis memadai tanpa Anwar, seorang bekas timbalan perdana menteri, bekas menteri kewangan, pertanian dan pendidikan, Azmin berkata ia sekarang ini dianggotai oleh personaliti-personaliti yang boleh dipercayai.

“Mereka mempunyai pengalaman luas di banyak bidang,” katanya.

Ditanya adakah laporan majlis itu akan dimaklumkan kepada bakal perdana menteri, Azmin berkata: “Akan beritahu seluruh rakyat Malaysia.”

Terdahulu, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkata penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi ialah satu pengakuan bahawa jentera sedia ada, khususnya jemaah menteri, tidak memadai bagi menangani isu ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat, walaupun selepas 9 bulan mentadbir negara.

Kadir dalam blognya berkata tidak perlu berdolak dalik semakin ramai orang kecewa dengan prestasi Pakatan Harapan yang belum menampakkan hasil yang boleh dirasakan rakyat.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");