Berita Hari Ini

Azmin Sangkal Dakwaan Kadir Mengenai Majlis Ekonomi

PETALING JAYA: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali menyangkal dakwaan penasihat media dan komunikasi perdana menteri tentang langkah Putrajaya menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi kerana perdana menteri tidak berpuas hati dengan prestasi menteri.

“Tidak benar sama sekali. Ini bukan mengenai seorang menteri. Kita dalam Pakatan Harapan bergerak dan bertindak secara kolektif, keputusan jemaah menteri juga scara kolektif, sebab itu diadakan majlis,” katanya kepada pemberita di satu acara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Azmin, salah seorang daripada 16 anggota majlis tersebut berkata, ia dianggotai oleh pakar yang mempunyai reputasi yang cukup baik dalam masyarakat.

Input mereka amat penting untuk diperhalusi dan diperkemaskan, katanya.

“Kita akan buat keputusan secara bersama kerana tindakan yang akan diambil itu akan beri kesan yang cukup positif kepada rakyat keseluruhan,” katanya.

Terdahulu, Datuk A Kadir Jasin berkata penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi ialah satu pengakuan bahawa jentera sedia ada, khususnya jemaah menteri, tidak memadai bagi menangani isu ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat, walaupun selepas 9 bulan mentadbir negara.

Kadir dalam blognya berkata tidak perlu berdolak dalik semakin ramai orang kecewa dengan prestasi Pakatan Harapan yang belum menampakkan hasil yang boleh dirasakan rakyat.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan 16 nama anggota Majlis Tindakan Ekonomi, yang bertujuan merancak dan merangsang pertumbuhan ekonomi, pengagihan kekayaan sama rata dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Antara anggotanya ialah ahli ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram, Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek dan bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");