Membawang Hari Ini

‘Bagai Mati Hidup Kembali’

KUALA LUMPUR: Hakikatnya, drama yang mencetuskan fenomena, Pujaan Hati Kanda menaikkan semula nama pelakon sinonim watak antagonis, Syazwan Zulkifly, 32, yang seakan-akan tenggelam timbul.

Bayangan Syazwan hampir dilupakan peminat selepas tidak kelihatan di kaca televisyen (TV), sejak setahun lalu. Ia tentu sahaja menimbulkan tanggapan konon Syazwan sudah berhenti berlakon dan tidak lagi menjadi buruan penerbit.

Sedangkan, empunya diri duduk termenung di rumah menantikan projek drama yang bagai tidak kunjung tiba.

Tidak tahu di mana silapnya, Syazwan berkata, dia tidak menyalahkan sesiapa apabila bercerita soal rezeki.

“Hikmahnya, saya menerima tawaran berlakon Pujaan Hati Kanda, selepas kira-kira 10 bulan tiada tawaran drama bersiri.

“Saya bukannya tiada kerja langsung, sebaliknya masih menerima tawaran berlakon telefilem. Sebulan, hanya satu projek, kerja pula tujuh hari sahaja. Selebihnya, saya hanya duduk termenung di rumah. Jujurnya, itulah saat paling sukar buat saya sejak menjadi pelakon kira-kira lapan tahun lalu.

“Selalunya, saya akan berlakon sekurang-kurangnya empat drama bersiri dalam setahun, tetapi sekarang nak dapat satu drama bersiri pun susah.

“Pujaan Hati Kanda adalah drama bersiri pertama saya bintangi, tahun lalu. Saya bersyukur Allah menghadirkan watak Pali untuk mengukir nama saya kembali,” katanya.

Pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Juvana dan 7 Hari Mencintaiku itu berkata, dia tidak pernah membayangkan 74 babak yang dilakonkan dalam Pujaan Hati Kanda mampu menaikkan kembali namanya.

“Dalam drama ini, heronya Remy Ishak. Saya hanya berlakon sebanyak 74 babak. Siapa jangka nama saya akan menjadi bualan?

“Saya rasa seperti ‘mati hidup semula’ apabila watak Pali menjadi ‘trending’ dan dibenci ramai. Watak itu lain daripada yang lain.

“Jika dalam drama 7 Hari Mencintaiku, watak Helmi menyebabkan penonton membenci saya, watak Pali lebih teruk. Penonton terlalu marah sehinggakan menghamburkan cacian terhadap watak Pali dalam media sosial. Kata-kata kesat mereka kurang enak untuk dibaca.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan, saya mendapat kepuasan melakonkan watak Pali. Walaupun kena bercakap dengan besi dan bergaduh dengan pokok, tetapi Pali sejenis gila-gila,” katanya yang terus komited melebarkan sayap seninya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");