Sukan Hari Ini

Cabaran Pertama Skuad Berbasikal Trek di Poland

BANGI: Lebih 30 juta rakyat Malaysia menaruh harapan menggunung mahu melihat skuad berbasikal trek kebangsaan terutama Azizulhasni Awang mengulangi kejayaan meraih sekurang-kurang sebutir pingat emas pada Kejohanan Basikal Trek Dunia UCI di Poland bermula esok hingga Ahad ini.

Trio negara diketuai Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis bakal turun beraksi dalam acara pecut berpasukan di Arena Pruszkow, jam 6 petang esok (waktu tempatan).

Azizulhasni dan Shah Firdaus juga bakal beraksi dalam acara keirin dan pecut individu di velodrom sama pada hari berikutnya.

Bekas jaguh trek negara, Rizal Tisin percaya trio pecut kebangsaan mampu mencipta kejutan dalam perlumbaan itu, tempat dia sendiri pernah mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama menang gangsa acara ujian masa 1KM pada 2009.

“Saya yakin peluang (menang emas) sentiasa ada dalam acara keirin untuk Azizulhasni, bagi acara ujian masa pula bergantung kepada situasi pelumba lain dan faktor sekeliling yang kadang kala turut membantu kita menang.

“Saya percaya seluruh rakyat Malaysia turut mendoakannya dan kalau ada rezeki InsyaAllah, Azizulhasni dapat mengulangi kejayaan meraih emas dan menang jersi pelangi sekali lagi seperti dua tahun lalu,” katanya ketika dihubungi BH Sukan sebentar tadi.

Tahun lalu, Azizulhasni gagal mempertahankan gelaran Raja Keirin Dunia dan terkandas awal dalam acara pecut individu selepas terkena jangkitan virus, deman dan batuk yang teruk.

Dalam pada itu Azizulhasni ketika dihubungi menegaskan beliau enggan memberi tekanan berlebihan kepada dirinya menjelang saingan acara pecut berpasukan esok.

Malah, Azizulhasni sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa beliau hanya meletakkan sasaran memecahkan rekod kebangsaan dan menduduki tempat kelapan bagi acara pecut berpasukan serta mara ke final acara keirin.

“Alhamdulillah saya tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan dan berada di tahap terbaik menjelang saingan esok.

“Saya juga berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk ahli keluarga terdekat dan jurulatih yang sentiasa memberikan sokongan padu dan mendoakan kejayaan saya di kejohanan itu nanti,” katanya. -BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");