KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan hanya membantu mempromosikan produk keluaran agensi kerajaan dan kementerian ke luar negara.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak terbabit dengan promosi produk keluaran syarikat swasta tempatan.
“Kita masih mempromosikan sesuatu produk seperti kraftangan ke luar negara sebagai hasil keluaran Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Jagaan dan Latihan Pekerjaan Tasputra Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di sini, hari ini, lapor BH Online.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kewajaran menteri membantu mempromosikan produk keluaran tempatan ke luar negara.
Baru-baru ini, berlaku pertikaian antara seorang usahawan produk minuman yang tidak berpuas hati apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, didakwa tidak membantu mempromosi produk keluaran syarikatnya walaupun sudah memberi penajaan minimum untuk acara kementerian berkenaan.
Enggan memanjangkan isu, Syed Saddiq mengeluarkan arahan membayar semula kos penajaan yang dikeluarkan usahawan berkenaan.
Dr Wan Azizah berkata, Syed Saddiq hanya mahu menolong usahawan berkenaan atas dasar ia adalah produk keluaran tempatan.
“Saya sendiri bawa produk kraftangan (keluaran swasta) ke luar negara untuk menolong mempromosikan Malaysia, ini promosi menyeluruh untuk negara itu saja,” katanya.
Sementara itu, berucap merasmikan Tasputra PERKIM, Dr Wan Azizah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membelanjakan RM 13.6 juta untuk 224 pertubuhan sukarela kebajikan tahun lalu, termasuk pertubuhan sukarela kebajikan yang mempunyai pusat jagaan seperti Tasputra PERKIM.
“Pemberian geran tahunan ini bertujuan menyokong pertubuhan sukarela kebajikan (PSK) memberi perkhidmatan terbaik kepada kumpulan sasar yang berkeperluan.
“Bantuan juga bagi meringankan beban kewangan dihadapi PSK, selain memastikan pelaksanaan program dan aktiviti kebajikan berterusan serta menyeluruh,” katanya.
Tahun lalu, katanya, Tasputra PERKIM menerima Elaun Orang Kelainan Upaya (OKU ) berjumlah RM52,200 dan Geran Rangsum untuk keperluan makan minum kanak-kanak sebanyak RM33,132 daripada JKM.