Berita Hari Ini

Dakwaan Tun M Hanya Perang Psikologi

KUALA LUMPUR – Perakuan bertulis Pas yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan berkaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perakuan itu adalah berkaitan sokongan Pas agar kepimpinan Perdana Menteri wajar diteruskan untuk memimpin negara.

“Kita memberi komitmen untuk kepimpinan Dr. Mahathir meneruskan agenda bagi memperkukuh dan memperkasakan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia.

“Itu adalah satu jaminan yang kita berikan kepada Dr. Mahathir. Kalau orang lain faham maksud lain itu saya tak tahu tapi pada kita jelas bahawa itu adalah perakuan kita bahawa pimpinan Perdana Menteri sekarang wajar diteruskan untuk memimpin negara.

“Pas berada di belakang Perdana Menteri dalam memperkasakan agenda orang Melayu, Islam dan ekonomi serta rakyat pelbagai kaum dalam negara kita ini yang memerlukan,” katanya pada sidang media di Terengganu hari ini.

Beliau berkata, pertemuan kali kedua Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Dr. Mahathir di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu sebahagian besarnya berkaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri dengan pusat.

Kata Samsuri, perbincangan berkaitan dengan urusan pentadbiran hubungan kedua pihak termasuk mengenai royalti dan penubuhan Majlis Tindakan Negeri oleh kerajaan Persekutuan.

“Soal perakuan bertulis yang dikaitkan dengan PRK DUN Semenyih itu, tidak ada. Kita menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dalam hal berkaitan seperti meratifikasikan ICERD dan pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Apabila Dr. Mahathir kata dia tidak setuju dengan kedua-dua perkara itu, kita menyatakan dengan jelas yang kita bersetuju dan menyokong keputusan itu,” katanya.

Mengenai dakwaan Mahathir ada surat perakuan dari Pas yang tidak akan bekerjasama dengan UMNO di PRK DUN Semenyih,  Samsuri menyifatkan itu sebagai ‘perang’ psikologi politik sahaja.

“Ia tak lebih sebagai gosip pilihan raya. Tentulah ada perang psikologi di pihak parti yang bertanding. Mereka mahu keputusan yang maksimum dan pada saya itu perang psikologi,” katanya.

Samsuri turut menafikan ada arahan daripada Presiden Pas agar tidak membantu UMNO dalam PRK itu.

“Tak adalah… Tidak ada keputusan yang dibuat presiden,” katanya. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");