Berita Hari Ini

Dokumen Kes Musa Aman Belum Lengkap, Kata Pendakwa

KUALA LUMPUR: Pendakwaan dalam kes bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman berhubung 35 pertuduhan rasuah berjumlah ASD63.3 juta (RM263 juta) melibatkan kontrak konsesi balak di Sabah memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa dokumen-dokumen berhubung kes itu belum lengkap sepenuhnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran memaklumkan demikian ketika pengurusan kes itu di depan hakim Rozina Ayob. Oleh itu, beliau tidak menolak kemungkinan dokumen tambahan akan dikemukakan.

“Pihak kami tidak boleh katakan semua dokumen sudah lengkap sepenuhnya, kerana kemungkinan akan ada dokumen lagi yang akan dikemukakan kemudian,” katanya ketika ditanya Rozina berhubung status dokumen berkaitan kes itu.
Terdahulu, Rozina menasihatkan pihak pendakwaan dan pembelaan berkomunikasi secara lebih profesional serta lebih serius dalam kes ini dan dalam hal berkaitan dokumen.

“Kes ini telah didaftarkan pada bulan November tahun lepas. Hari ini sudah penghujung bulan Februari. Saya tidak kisah sama ada kes ini akan didengar di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Sesyen.

“Namun, kedua-dua pihak perlu berkomunikasi antara satu sama lain dan lebih profesional supaya tiada lagi penangguhan berlaku disebabkan perkara-perkara kecil,” katanya dan menetapkan 5 Mac untuk pengurusan kes itu.

Pendakwaan juga memaklumkan pihaknya telah menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes itu kepada pasukan pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Musa mengesahkan pihaknya telah menerima dokumen-dokumen tersebut.

Musa turut diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan Francis Ng Aik Guan dalam prosiding hari ini.

Pada 5 November 2018, Musa mengaku tidak bersalah atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah berjumlah ASD63,293,924 (RM263,460,962.313) daripada 8 pemilik syarikat konsesi balak.

Beliau dituduh melakukan semua kesalahan itu di 8 institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah dan boleh dihukum bawah Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");