Berita Hari Ini

Dr Mahathir: Kabinet Pintar Juga Boleh Silap Jika Nertindak Solo

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusannya untuk menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN), dengan berkata kabinet juga boleh membuat kesilapan jika ia bergantung sepenuh kepada diri sendiri meskipun dianggotai oleh mereka yang pintar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, A Kadir Jasin yang mendakwa Dr Mahathir merasakan kabinet tidak memadai untuk menangani isu-isu ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat.

“Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan membolehkan kerajaan – dan khususnya diri saya sendiri – untuk mendengar pandangan orang lain.

“Mana-mana kerajaan yang tidak mahu mendengarkan pandangan lain dan hanya mahu bergantung kepada kabinet, walaupun kabinet dianggotai oleh mereka yang pintar tidak terlepas daripada membuat kesilapan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Yayasan Kepemimpinan Perdana hari ini.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya menubuhkan majlis itu sejak Pakatan Harapan mengambil alih kuasa tahun lalu, tetapi mereka agak “sibuk” ketika itu.

“Sekarang kita mempunyai masa yang cukup untuk menubuhkan majlis itu dan akan menggunakan majlis ini untuk mendapatkan maklum balas mengenai apa yang berlaku dan menggunakan idea mereka dalam menyelesaikan masalah serta cara bergerak ke hadapan,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri semalam mengumumkan penubuhan majlis itu yang akan bertindak untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Matlamat utama majlis yang dianggotai oleh 16 orang itu adalah untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama, dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Antara tokoh yang menganggotai majlis itu ialah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan tokoh perbankan, Tan Sri Tay Ah Lek.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");