Berita Hari Ini

Dr Mohd Azraai Kassim Dilantik Naib Canselor Baharu UiTM

PUTRAJAYA: Prof Dr Mohd Azraai Kassim dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 14 Februari 2022.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UiTM adalah berdasarkan kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian ketika memegang jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTMSpace) dan jawatan utama sebelumnya sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

“Kementerian percaya beliau akan dapat memacu kecemerlangan UiTM ke tahap yang lebih tinggi. Justeru, kementerian berharap pelantikan ini akan menyumbang kepada kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau kepada kecemerlangan UiTM dalam mencapai visi dan misi sebagai Universiti Komprehensif terunggul.

“Kementerian juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said atas khidmat bakti dan kepemimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UiTM mulai 1 Februari 2016 hingga 31 Januari 2019,” katanya, lapor BH Online.

Mohd Azraai dilahirkan di Perak pada 15 Julai 1958 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari University of Manchester Institute of Science and Technology (MIST), United Kingdom pada 1981.

Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di universiti sama pada 1983 dan memperoleh Ijazah Kedoktoran pada 1992 dari University of Newcastle Upon-Tyne, United Kingdom.

Dari segi pengalaman pentadbiran di peringkat universiti, beliau pernah menyandang jawatan Dekan UTMSpace, Dekan Hal Ehwal Antarabangsa UTM, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM.

Beliau juga menerbitkan dua buku berkaitan kepemimpinan akademik, 155 jurnal dan prosiding berkaitan pendidikan tinggi, lima projek penyelidikan antarabangsa, 21 projek penyelidikan nasional dan 19 projek konsultansi dengan nilai keseluruhan sebanyak RM6.03 juta.

Mohd Azraai juga pernah mendapat pengiktirafan pelbagai peringkat tempatan dan antarabangsa antaranya ‘Visiting Scientist’ di Kyoto University, Anugerah Jasa Bakti UTM pada 2003, Anugerah Penyelidikan 2004 (kategori kumpulan) UTM, Ahli UTM Water Research Group, Anugerah Khas Kepimpinan, School of Professional and Continuing Education, UTM (2006), dan yang terbaharu Anugerah Jasa Abadi pada 2016.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");