Perak Hari Ini

Graduan LVC Dapat Tempat Di Dalam Dan Luar Negara

BUKIT MERAH : Graduan daripada Lake View College (LVC) mendapat pilihan di kalangan pemain utama industri kerana menepati kehendak dan keperluan syarikat bagi bidang-bidang yang berkaitan di negara ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan M K Land Holdings Berhad, K Mohanachandran.

Ujarnya, LVC sentiasa menambahbaik sistem pembelajaran dan pengajaran kolej seiring dengan perkembangan industri-industri negara dengan memastikan pelajar-pelajarnya mendapat ilmu yang berkualiti dan boleh digunapakai.

“Dengan kursus-kursus yang kita tawarkan, pihak LVC yakin bahawa kita mampu memenuhi kehendak pasaran dengan menyediakan graduan yang berkualiti. Sehingga kini, LVC telahpun melahirkan lebih 1,500 graduan di mana ada di antara graduan-graduan kita ditawarkan pekerjaan sebelum tamat pengajian.

“Pihak M K Land sentiasa prihatin tentang pendidikan, terutama sekali untuk pelajar-pelajar sekitar kawasan utara negeri Perak dan untuk pelajar-pelajar di seluruh Malaysia pada amnya. Kolej ini diletakkan di bawah naungan M K Land bagi menjana peluang pendidikan serta memberi ruang untuk peluang-peluang pekerjaan setelah tamat pengajian,” katanya, menerusi satu kenyataan.

Beliau sebelum itu hadir menyampaikan hadir ke Majlis Konvokesyen kali ke-6 LVC di Dewan Sebarau, Bukit Merah Laketown Resort, di sini, hari ini.

Seramai 185 graduan telah menerima anugerah masing-masing di dalam majlis tersebut yang merangkumi empat kursus pengajian iaitu Diploma Kejururawatan (64 graduan); Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (57 graduan); Diploma Kesihatan Persekitaran (46 graduan) dan Diploma Pengurusan Hotel (18 graduan).

Di majlis itu juga, pingat khas bagi pelajar cemerlang juga disampaikan. Anugerah Pingat Tun Mahathir disandang oleh Ferron Liuhan (Diploma Kejururawatan); Anugerah Pingat Tun Siti Hasmah disandang oleh Mohamad Al-Mahadi Ahmad (Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) manakala Anugerah Tan Sri Mustapha Kamal disandang oleh Mohd Mustafa Anwar (Diploma Kejururawatan).

Sementara itu, Ketua Eksekutif LVC, Mohd Jailani Bin Che Idrus berkata, bagi mendedahkan pelajar dengan industri sebenar, pihak kolej juga menyediakan kemudahan pembelajaran untuk latihan amali kepada pelajarnya.

“Di LVC, pembelajaran bukan sahaja merangkumi kaedah teori, malah, pihak kolej juga turut menyediakan kemudahan pembelajaran bagi latihan amali atau praktikal kepada para pelajarnya bagi memberi pendedahan suasana pekerjaan sebenar.

“Apa yang lebih membanggakan ialah ada di antara graduan kejururawatan turut ditawarkan pekerjaan di hospital-hospital luar negara seperti di Singapura, Dubai, Jeddah dan Kanada,” tambah beliau.

Pada ketika ini, LVC menawarkan tujuh kursus pengajian di peringkat diploma iaitu Diploma Kejururawatan, Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Diploma Kesihatan Persekitaran, Diploma Pengurusan Hotel, Diploma Pengurusan Pelancongan, Diploma Pengurusan Perniagaan dan Diploma Perakaunan.

Empat kursus LVC juga mempunyai Perakuan Akreditasi Penuh dari Agensi Kelayakan
Malaysia (MQA) iaitu Diploma Kejururawatan, Diploma Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan, Diploma Kesihatan Persekitaran dan Diploma Pengurusan Hotel.

Pihak LVC juga kini dalam proses untuk menawarkan satu lagi kursus baru iaitu Diploma Seni Kulinari.

Selain itu tambahnya lagi, LVC juga tidak menekankan aspek akedemik semata-mata, sebaliknya aktiviti luar yang ditawarkan kepada pelajar turut diberi fokus dalam membentuk sahsiah serta jati diri pelajar.

“Antara aktiviti kokurikulum yang ditawarkan ialah seperti berkayak, mendaki, tarian
dan sukarelawan bagi membentuk sikap jatidiri, kepimpinan, kerjasama dan kemahiran
individu termasuklah kemahiran komunikasi untuk para pelajarnya,” jelasnya.

LVC kini dibuka untuk pendaftaran bagi semester hadapan – sila layari http://www.lvc.edu.my untuk sebarang maklumat lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");