Panasnya Hari Ini

Harakah, Tarik Balik Fitnah Atau Tunggu Tindakan Undang-undang – Mujahid

KUALA LUMPUR – Lidah rasmi Parti Islam Semalaysia (Pas), Harakah Daily digesa menarik balik laporannya berhubung isu Nabi Muhammad S.A.W tiada ijazah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan kegagalan media itu berbuat demikian bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Sekali lagi diingatkan bahawa mana-mana pihak yang menyebarkan atau membuat tuduhan (fitnah) akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Harap media rasmi Pas menarik balik artikel bertajuk ‘ijazah nya ada akalnya kerdil yang berunsur tuduhan (fitnah) terhadap Menteri.

“Ia perlu membuat permohonan maaf secara terbuka atau bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebooknya, sebagaimana dinyatakan MalaysiaGazette.

Laporan berbaur fitnah itu merujuk kepada minda Presiden Pas, Datuk Seri Dr Abdul Hadi Awang yang disiarkan Harakah Daily hari ini mengulas kenyataan seorang menteri yang menegaskan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. juga tiada ijazah.

Abdul Hadi menyifatkan pendirian menteri terbabit sebagai sangat malang dan sesat lagi menyesatkan apabila membandingkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan Nabi Muhammad yang dikatakan tidak berijazah.

Dalam tulisan tersebut bertajuk IJAZAHNYA ADA, AKALNYA KERDIL, Abdul Hadi antara lain menulis:

“Saya ditunjukkan kenyataan seorang menteri yang dikatakan berijazah tinggi yang dibanggakannya dan menegaskan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. juga tiada ijazah. Kenyataannya boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud yang tersurat dan tersirat. Cumanya sangat malang dan sesat lagi menyesatkan, kalau dibandingkan mereka yang didakwa tidak berijazah itu dengan Nabi Muhammad S.A.W. yang dikatakan tidak berijazah.

Tidak boleh dinafikan adanya ijazah itu penting dan ada ilmu serta pengalaman juga penting. Sangat baik bagi mereka yang ada kedua-duanya dan tidak menjadi salah kalau ada ilmu dan pengalaman tanpa ijazah, tetapi lebih malang kalau ada ijazah tetapi tiada ilmu, dan lebih malang lagi kalau ijazahnya dibeli (walaupun tidak dinamakan rasuah) dan buta akalnya yang lebih besar dan bahaya daripada buta huruf dan paling berbahaya bagi seseorang buta Al-Quran.”

Isu sijil palsu timbul selepas ijazah yang dimiliki oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dipersoalkan kesahihannya.

Pada awalnya Marzuki didakwa mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge, England dan kemudiannya menjelaskan ijazah beliau dari Universiti Cambridge Antarabangsa di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun kredibiliti Universiti Cambrige Antarabangsa dipertikaikan kerana didakwa menjadi kilang mengeluarkan sijil pendidikan yang tidak sah termasuk boleh dibeli.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");