Panasnya Hari Ini

Harap Zahid Sayang UMNO Daripada Jawatan Presiden

KUALA LUMPUR –  Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali mengemudi parti ini selepas tamat tempoh ‘bercuti’ tidak lama lagi menerima reaksi yang pelbagai termasuk dalam kalangan ahli parti.

Ada yang berpendapat adalah lebih molek jika bekas timbalan perdana menteri itu terus ‘bercuti’ daripada menjalankan tugas sebagai peneraju parti sehingga keseluruhan 45 pertuduhan ke atasnya selesai dibicarakan di mahkamah.

Ada juga yang melahirkan isi hati mahu Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Pre­siden, Datuk Seri Mohamad Hasan terus memimpin parti dalam usaha untuk bangkit semula selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lalu.

Mohamad Hasan lebih digemari kerana dirinya tidak terpalit dengan mana-mana skandal yang boleh merencatkan agenda kebangkitan UMNO selepas ini, baik ahli mahupun pihak lawan.

Menurut pemerhati politik yang juga merupakan ahli UMNO, Azizi Safar kepada MalaysiaGazette, beliau sebenarnya sangat berharap Zahid akan lebih ‘berjiwa besar’ dan membiarkan sahaja Mohamad Hasan atau lebih popular, Tok Mat untuk menerajui UMNO ketika ini.

“UMNO perlu dipimpin nakhoda yang bersih dan bebas daripada sebarang masalah, yang sukar untuk pihak lawan menyerang batang tubuh pucuk kepimpinan.

“Saya tidak kata bahawa Zahid bersalah dan perlu menghukum beliau terhadap kesalahan yang belum terbukti lagi, tetapi ada baiknya selesai dulu kesemua kes-kes terpalit atas beliau,” katanya.

Mengulas lanjut, Azizi menekankan tentang ‘berjiwa besar’ yang beliau yakini sebagai pendekatan terbaik yang perlu dibuat oleh Zahid untuk diri sendiri dan juga parti.

“Jika beliau berjiwa besar serahkan kepimpinan kepada Mohamad Hasan sehingga Zahid bersihkan namanya, itu adalah sebaik-baiknya. Untuk diri sendiri dan juga parti keramat yang kita sayangi ini,” katanya.

Azizi turut merujuk kenyataan Zahid semasa muncul di forum bertajuk Kerjasama UMNO-PAS Sejauh Mana…? Khamis lalu di Bagan Datuk.

Zahid ketika itu berkongsi pentas bersama Yang Dipertua PAS Bagan Datuk Mishabul Munir Masduki.

“Saya bercuti sehingga tempoh dimana saya perlu menghabiskan cuti saya kerana mengikut ‘kasyaf’ para ulama ada menyebutkan akan berlaku peristiwa besar dalam negara.

“Bila berlaku perkara besar itu, saya akan kembali untuk memimpin UMNO, insya-Allah,” kata Zahid pada malam tersebut.

Menurut Azizi, elok juga Zahid tunggu ‘peristiwa besar’ yang beliau sebut itu untuk berlaku sebelum mahu kembali kepada UMNO.

“Bukan saya tidak sayang Zahid tetapi sayang saya kepada UMNO jauh lebih dalam. Saya juga berharap Zahid ada perasaan yang sama, sayanglah UMNO daripada jawatan Presiden UMNO itu,” katanya.

Poster forum yang dimuatnaik Zahid pada Khamis lalu turut mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Antara komen:

– Please jgn kembali DSZH….. skrg keadaan semakin ok…. hidup mcm DSN je…. buat kerja sendiri…. jika dpt sokongan tu rezeki DSZH…. mohon jgn bercakap mewakili UMNO…. Biar Tok Mat wakil rasmi utk UMNO….(pandangan shj… maaf jika terguris hati DSZH)

– Tolong la datuk..sokong dari luar…x payah guna platform umno lagi..pergilah dengan terhormat..kami berterima kasih dengan jasa2 dszh sebelum ni….plzzz..tlglaaaa
– Mohon datuk jgn kembali ke persada politik nasional. Kalau just bagan datuk ok. Jgn nasional please
– Zahid kena terus terajui UMNO. Kesetiaan dia buat PH kecut telur. PH dan TunM mahukan selain Zahid terajui UMNO agar senang utk dicatur.
– Kalau sayang Umno minta besara t0k.. Jd blkg tadbir lebib baik
– Maaf ya rakan2, kalau kita tenguk balik poster tu, DSZH akan bercakap atas kapasiti beliau sebagai Ketua Umno Bahagian Bagan Datuk dan BUKAN sebagai Presiden UMNO…– Sebagai politician yg berpengalaman, saya yakin, DSZH faham dan akur dengan kehendak penyokong2 UMNO…
Tapi dalam masa yg sama, janganlah kita nafikan hak beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian, walau pun ramai yang masih belum bersedia utk menerima DSZH kembali ke pentas politik negara sebagai Presiden UMNO…

Semalam Zahid memuatnaik beberapa gambar menunjukkan aktiviti beliau mengisi masalapang dengan program amal, ziarah dan gotong royong di sekitar Kajang Bangi bersama anak-anak muda geng masjid.

Beliau menggunakan tandapagar #AKHIRATDIDEPAN #GENGAAMALAZH #JOMMASJID.

– MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");